Amirudin sedia pertahan kerusi Parlimen Gombak

Amirudin sedia pertahan kerusi Parlimen Gombak

Pas
AMIRUDIN SHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GOMBAK: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bersedia mempertahankan kerusi Parlimen Gombak pada pilihan raya akan datang sekiranya diputuskan oleh pucuk pimpinan parti.

Beliau menegaskan pendiriannya untuk tidak berganjak daripada kawasan itu kerana komited meneruskan mandat yang diberikan oleh rakyat sebelum ini.

“Saya akan pertahankan Parlimen Gombak,” katanya ketika berucap pada mesyuarat agung PKR Cabang Gombak 2026 di sini, semalam.

Amirudin turut mengingatkan semua ahli serta pimpinan parti bahawa kejayaan yang dikecapi hari ini adalah hasil perjuangan panjang sejak 1998 dan bukannya dicapai dalam tempoh singkat.

“Jawatan dan kejayaan yang ada sekarang bukanlah bersifat eksklusif untuk kepentingan peribadi, sebaliknya perlu diterjemahkan semula kepada keyakinan rakyat melalui khidmat bakti yang berterusan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, tumpuan utama kerajaan ketika ini adalah menyelesaikan pelbagai isu rakyat yang tertangguh di bawah agenda kerajaan Madani.

Antara pencapaian digariskan termasuklah penyelesaian masalah perumahan dan pendudukan di kawasan Kampung Fajar, Kampung Barisan serta Kampung Perpaduan yang kini mula menampakkan hasil positif.

Amirudin turut memberi jaminan bahawa isu projek terbengkalai seperti Projek Dunia Hijau di Gombak Setia yang telah berlarutan selama lebih sepuluh tahun akan diselesaikan sepenuhnya pada tahun ini.

“Kerajaan negeri juga sedang menaik taraf infrastruktur di kawasan penempatan lama selain mencari penyelesaian bagi pembinaan rumah pangsa di Keramat melalui pengalihan jalan lalu bagi memastikan keselesaan penduduk,” katanya.

Mengenai serangan politik pihak lawan, Amirudin menyelar tindakan sesetengah pihak yang cuba memutarbelitkan isu nasional demi kepentingan peribadi sehingga sanggup mengabaikan kedaulatan negara.

Beliau mengambil contoh isu penyasaran subsidi diesel dengan menjelaskan penggunaan diesel di Sabah dan Sarawak jauh lebih tinggi berbanding Selangor, manakala rakyat di negeri ini menikmati harga petrol antara yang termurah di Asia Tenggara.

“Semua jentera parti parti perlu bekerja sebagai satu pasukan dan mengetepikan perbezaan demi memastikan kebajikan rakyat sentiasa terjaga.

“Pentadbiran di bawah pimpinan Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama kerajaan negeri merupakan kerajaan yang bekerja secara bertanggungjawab dan bukan sekadar menabur janji ketika musim pilihan raya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN