PETALING JAYA: Tindakan tegas akan diambil terhadap semua murid yang terlibat dalam insiden buli di sebuah sekolah yang tular di media sosial baru-baru ini.
Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor menegaskan, tindakan tersebut akan diambil selaras dengan garis panduan sedia ada bagi memastikan semua institusi pendidikan di negeri ini selamat untuk murid, guru dan seluruh warganya.
“Pihak sekolah, dengan pemantauan JPN Selangor dan Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Langat telah mengambil tindakan segera termasuk menghubungi ibu bapa dan penjaga, menjalankan siasatan dalaman dan melaporkan kejadian ini kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Murid terlibat turut menjalani sesi kaunseling,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada masa sama, orang ramai turut diseru agar tidak menyebarkan hantaran media sosial yang mendedahkan identiti murid terlibat memandangkan ia melibatkan kanak-kanak bawah umur.
Baru-baru ini, media melaporkan, tujuh pelajar sekolah menengah di Kajang dikenakan tindakan disiplin oleh pihak sekolah selepas dikesan terlibat dalam kejadian buli lisan yang tular di media sosial, Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof dilaporkan berkata, pihaknya mengesan satu rakaman video berdurasi 47 saat yang memaparkan sekumpulan pelajar didakwa melakukan perbuatan buli secara lisan terhadap seorang pelajar perempuan. – UTUSAN










