Isu MA63: Hari Malaysia antara pindaan dalam Perlembagaan   - Utusan Malaysia

Isu MA63: Hari Malaysia antara pindaan dalam Perlembagaan  

WAN JUNAIDI TUANKU JAAFAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan bakal memasukkan istilah Hari Malaysia dalam rang undang-undang (RUU) pindaan Perlembagaan Persekutuan selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

 Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ia bagi merujuk tarikh pembentukannya pada 16 September 1963.

“Inilah tarikh Malaysia dibentuk serta menandakan penamatan kedaulatan Ratu England ke atas Sarawak dan Sabah yang ketika itu disebut Borneo Utara,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mengulas lebih lanjut, Wan Junaidi berkata, pada ketika ini, tiada langsung disebut mengenai Hari Malaysia pada 16 September dalam mana-mana klausa Perlembagaan Persekutuan.

“Kerajaan juga bakal memurnikan tafsiran perkataan Persekutuan dalam Artikel 160(2) untuk merujuk Persekutuan Tanah Melayu atau Malaya menurut perjanjian asal 1957,” katanya.

Langkah itu, ujarnya, turut melibatkan pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan sekali gus memulihkan kembali penyusunan sebenar yang selaras dengan maksud MA63.

Beliau juga memaklumkan bahawa RUU tersebut dijangka meminda definisi natives atau penduduk asal Sarawak yang diterangkan di bawah Artikel 161A Perlembagaan Persekutuan.

Pindaan berkenaan bakal membolehkan anak-anak yang lahir daripada hasil perkahwinan penduduk asal dengan individu luar di Sarawak akan juga memperoleh status penduduk asal.

Menerusi pindaan itu, jelas Wan Junaidi, kuasa untuk memutuskan kaum di Sarawak diperakui sebagai pribumi negeri tersebut, akan dimuktamadkan melalui proses perundangan Sarawak.

“RUU yang melibatkan beberapa pindaan kecil dalam Perlembagaan Persekutuan ini bakal dibentang untuk bacaan buat kali pertama di Parlimen pada Selasa depan,” tambah beliau.

Bagaimanapun katanya, bacaan kali kedua pula yang sepatutnya ditetapkan pada Khamis ini akan dijadualkan semula susulan ada beberapa anggota Kabinet mahu penjelasan lanjut. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya