iCOPS mampu banteras pelbagai jenayah - Utusan Malaysia

iCOPS mampu banteras pelbagai jenayah

MAT Kasim Karim menunjukkan kamera sistem iCOPS pada majlis memperkenalkan iCOPS di pekarangan Hotel Seri Malaysia, Kangar, Perlis. - UTUSAN/SYED AZLAN SAYID HIZAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Sebanyak 40 unit kenderaan pengimbas nombor pendaftaran kenderaan (iCOPS) akan digerakkan secara besar-besaran di seluruh negara mulai Januari depan yang mampu membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) membanteras pelbagai jenayah selain kesalahan trafik di negara ini.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Datuk Mat Kasim Karim berkata, melalui penambahan sebanyak 20 unit iCOPS pada tahun lalu, pihaknya mampu meluaskan skop operasi dan penugasan mereka.

Katanya, iCOPS menggunakan teknologi kamera ‘automated number plate recognation’ (ANPR) dan telah digunakan sejak 2015 lebih tertumpu kepada mengesan kesalahan trafik sekitar Lembah Klang pada waktu itu.

“Pada tahun lalu, fungsi iCOPS dipertingkatkan dengan menyimpan data saringan kenderaan bagi membina pangkalan profil data di dalam Pusat Data iCOPS,” katanya ketika ditemui selepas majlis memperkenalkan iCOPS di pekarangan Hotel Seri Malaysia di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Pengarah JSPT, Datuk Mohd. Nazri Hussain dan pegawai kanan jabatan tersebut.

Difahamkan, JSPT kini memiliki lebih empat juta profil kenderaan dan menyasarkan kepada enam juta data saringan menjelang hujung tahun ini.

Beberapa kejayaan aplikasi iCOPS direkodkan sepanjang tahun ini termasuk tangkapan dua suspek di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 pada 29 September lalu bersabit laporan polis di Gurun, Kedah.

Dua individu berkenaan menaiki sebuah kenderaan utiliti sukan ditahan unit EMPV Zon Utara 1 yang membawa rampasan dadah jenis heroin, syabu dan ganja.

Menurut Mat Kasim, JSPT menganggarkan tidak kurang 85 peratus jenayah di Malaysia menggunakan jalan raya semasa atau selepas melakukan jenayah.

“Pusat data iCOPS juga semakin penting dalam membina profil kenderaan serta penjenayah dan menjadi elemen penting bagi analisis data PDRM.

“Sistem iCOPS mampu berintegrasi dengan lain-lain sistem dalaman PDRM dan sedikit masa lagi, kita mungkin mampu bekerjasama dengan agensi penguatkuasa lain seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atau Dewan Bandaraya Kuala Lumpur untuk mengesan pesalah jalan raya,” katanya.

Katanya, sistem dan pusat data iCOPS juga memainkan peranan penting dalam pembangunan sistem Analitik Teknikal Jenayah Dadah yang sedang dibangunkan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik PDRM.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya