JERANTUT: Seorang warga emas terpaksa berhenti menoreh getah yang menjadi sumber pendapatannya selepas menghidap empat jenis penyakit.
Musa Mohd., 71, berkata, dia berhenti menoreh awal tahun ini kerana kekurangan tenaga, tidak boleh membongkok, mengangkat benda berat dan kerap pening ketika bekerja di kebun.
“Saya terpaksa berhenti menoreh mengambil upah di kebun milik orang sejak awal tahun ini dan tinggal di rumah bersama isteri, Khatijah Md. Yusof dan seorang anak lelaki.
“Isteri saya juga mengalami gangguan sesak nafas dan tidak mampu berdiri lama,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di perumahan Program Pembangunan Masyarakat Setempat (PPMS) Bukit Rang di sini.
Menurut Musa, dia yang mengidap penyakit prostat, buah pinggang, kencing manis dan penglihatan kabur sejak 10 tahun lalu dan perlu berulang alik ke hospital dua kali sebulan untuk mendapatkan rawatan.
Untuk itu, katanya, dia memerlukan belanja yang banyak bagi perbelanjaan pengangkutan, penginapan dan ubat.
“Sebelum ini, walaupun sakit saya gagahkan diri sambil dibantu oleh anak, Muhammad Asyraf Hakim yang berusia 27 tahun untuk menoreh getah dengan pendapatan cuma RM300 sebulan.
“Walaupun saya menerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM600, tetapi masih tidak mencukupi termasuk untuk menampung kos rawatan susulan yang mencecah hampir RM2,000 sebulan,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Asyraf Hakim memberitahu tidak boleh keluar bekerja jauh dari rumah kerana kedua ibu bapanya sudah uzur.
“Saya pernah mencuba memohon pekerjaan tetapi kurang bernasib baik selain peluang kerja yang agak terhad di daerah ini,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu Musa boleh menyalurkan sumbangan ke akaun bank anaknya, Muhammad Asyraf Hakim Musa bernombor 156208300136 (Maybank)atau terus menghubunginya menerusi nombor telefon 0179773824.-UTUSAN.











