Batal tempahan ekoran gangguan air

Batal tempahan ekoran gangguan air

ORANG ramai mengambil air yang disediakan Syarikat Air Terengganu di Kampung Banggol, Setiu, Terengganu. – UTUSAN/WAN ZURATIKAH IFFAH WAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIU: Operasi inap desa di daerah ini terjejas gaga-gara masalah gangguan bekalan air sejak Khamis lalu sehingga memaksa pengusaha membatalkan tempahan pelanggan.

Seorang pengusaha, Muhammad Ziyad Zapri berkata, kea­daan itu menyebabkannya sukar menerima pelanggan terutama pada hujung minggu dan musim cuti sekolah.

Katanya, beberapa pelanggan yang sudah membuat tempahan terpaksa dimaklumkan lebih awal mengenai masalah bekalan air sebelum ada antara mereka mengambil keputusan membatalkan penginapan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Risiko ini terpaksa kami tanggung kerana melibatkan keselesaan pelanggan apabila menginap di inap desa. Ada dalam kalangan mereka yang memahami dan tetap menginap se­perti biasa.

“Bagaimanapun saya sebagai pengusaha, sentiasa memastikan bekalan untuk kegunaan pelanggan tetap ada meskipun terpaksa mengangkut air lima atau enam kali sehari dari lokasi pengagihan air yang ditetapkan Syarikat Air Terengganu,” katanya ketika ditemui di Kampung Penarik di sini.

Menurut Muhammad Ziyad, meskipun di inap desanya itu memiliki telaga tiub sendiri, ia hanya mampu bertahan dua hari dan tidak boleh menampung jika jumlah pelanggan ramai.

Katanya, gangguan bekalan air itu berlarutan sejak enam hari lalu dan notis telah dikeluarkan syarikat bekalan air itu disebabkan oleh kerja-kerja membaik pulih komponen mekanikal.

Sementara itu, Kampung Banggol di sini turut mengalami gangguan sama yang memaksa penduduk turut mengangkut air untuk keperluan harian.

Seorang penduduk, Mohd Azhar Naruddin, 49, berkata, dia terpaksa mengangkut air berulang kali setiap hari sehingga masalah bekalan air dapat selesai.

“Kegunaan air sangat pen­ting untuk urusan di rumah termasuk mandi, memasak dan mencuci. Bilangan ahli keluarga yang ramai membuatkan penggunaanya lebih tinggi.

“Kami harap penaiktarafan atau baik pulih tangki atau paip yang dijalankan dapat disegerakan bagi mengelakkan situasi ini berlaku dalam tempoh yang lebih lama,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini