Ibu tunggal didenda RM9,000 cuai jaga anak lelaki hingga menyebabkan kesan lecur  - Utusan Malaysia

Ibu tunggal didenda RM9,000 cuai jaga anak lelaki hingga menyebabkan kesan lecur 

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR:  Seorang ibu tunggal didenda RM9,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana cuai menjaga anak kandung lelakinya berusia setahun tujuh bulan hingga mengalami kesan melecur di bahagian lengan dan bawah ketiak.

Hakim Izralizam Sanusi menjatuhi hukuman itu selepas peniaga barangan kosmetik dalam talian tersebut menukar pengakuan kepada bersalah pada hari pertama perbicaraan kes hari ini.

Mahkamah turut memerintahkan wanita berusia 26 tahun itu menjalani hukuman penjara sembilan bulan sekiranya gagal membayar denda itu. Tertuduh menjelaskan denda berkenaan.

Pada masa sama, wanita itu turut diperintah berkelakuan baik selama tiga tahun tanpa cagaran mengikut Seksyen 31(2)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Tertuduh didakwa sebagai ibu kandung kepada seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun tujuh bulan telah berlaku cuai sehingga mendatangkan kecederaan di bahagian lengan kanan dan kiri serta di bawah ketiak sebelah kanan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Setapak di sini pada Disember tahun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga 20 tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Aiman Azahan memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran terhadap tertuduh supaya memberi mesej kepada masyarakat yang mana kesalahan yang dilakukan serius.

“Dalam kes ini, mangsa mengalami kecederaan melecur bukanlah disebabkan kemalangan tetapi ia disengajakan kerana kecuaian tertuduh,” katanya.

Berdasarkan fakta kes yang telah diakui tertuduh, keadaan mangsa semasa diambil oleh pengadu (bapa kandung) berada dalam keadaan trauma dan ketakutan.

Bagaimanapun, peguam Zulkifli Awang yang mewakili tertuduh memohon hukuman denda yang ringan dengan alasan anak guamnya telah insaf serta perlu menjaga keluarganya.

“Anak guam saya perlu menanggung ibu bapanya yang sudah tua dan dia harus mencari nafkah,” katanya.

Mengikut fakta kes,  pada hari kejadian bapa kandung kanak-kanak itu telah menghantar mangsa ke rumah tertuduh untuk dijaga.

Semasa pengadu mengambil anaknya, dia mendapati ada kesan melecur di lengan kiri dan kanan serta bawah ketiak kanak-kanak itu malah mangsa juga berada dalam ketakutan.

Sangsi dengan keadaan itu, pengadu kemudian bertanya kepada tertuduh namun wanita itu memaklumkan dia tidak tahu menahu mengenai kesan lecur tersebut.

Mangsa kemudian dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Hasil pemeriksaan mendapati kesan melecur di bawah ketiak dan luka di bahagian belakang kedua-dua belah tangan mangsa serta kesan lecetan pada bahagian belakang badannya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya