Ahli politik diminta berhenti tuding jari isu jual istana

Henti tuding jari isu jual istana

AMIR KHUSYAIRI MOHAMAD TANUSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Sekretariat Pemuliharaan Khazanah Teluk Intan meminta ahli politik berhenti menuding jari, salah menyalah dan cuba menjadi ‘wira’ dalam isu tapak Istana Raja Muda Perak di sini, sebaliknya perlu lebih jujur dan ikhlas dalam menyelesaikan isu tersebut.

Pengarahnya, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi berkata, khazanah dan warisan tanah air bukanlah sesuatu yang boleh dijadikan bahan permainan, sebaliknya sebarang langkah dan cadangan untuk pembangunan atau mahu menjualnya sekalipun mesti dilakukan dengan cara lebih telus serta luar daripada kebiasaan.

“Kami di pihak Sekretariat Pemuliharaan Khazanah Teluk Intan sangat mengharapkan pandangan serta usaha lebih ikhlas dan telus daripada kepemimpinan kerajaan negeri. 

“Hentikanlah bermain politik, tuding menuding dan salah menyalah ataupun cubaan untuk bersikap melindungi diri daripada kesalahan atau kesilapan yang telah dilakukan. Cukup-cukuplah cubaan meraih sokongan rakyat dan sekarang mahu menjadi wira pula,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan akhbar memetik kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, yang mengakui keputusan untuk menjual tapak istana lama Raja Muda itu dibuat ketika beliau menyandang jawatan Menteri Besar Perak dan dipersetujui bersama Menteri Besar sekarang, Datuk Saarani Mohamad.

Menurut Amir Khusyairi, sepatutnya pandangan ahli masyarakat setempat diambil kira semaksimum mungkin, termasuk dari pihak Istana Sultan Perak memandangkan ia pernah menjadi rumah kepada ahli keluarga kerabat diraja.

Ujarnya, juga walaupun sekretariat itu baru sahaja digerakkan, tapi tiada usaha daripada wakil kerajaan negeri mendapatkan pandangan mereka atau mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NG0) di bandar itu apabila membuat keputusan melibatkan warisan bangsa.

“Tahu-tahu sahaja isu ini meletup apabila tender Pemberimilikan Tanah Kerajaan melalui Penentuan Kadar Premium mula tular. Sebelum ini kami juga tidak pernah mendengar adanya pungutan suara dan pandangan dibuat,” jelasnya.

Justeru, pihaknya akan terus mendesak agar bangunan istana ini dipulihara dan kawasan sekitarnya dibangunkan dengan tertumpu kepada aktiviti pelancongan sejarah.

“Kerajaan negeri perlu bertanggungjawab dan dengarlah rintihan kami dari rakyat Teluk Intan. Kami juga mengambil kesempatan ini sekali lagi untuk menyeru orang ramai terutamanya masyarakat di Teluk Intan bersama-sama kami dalam memulihara semua khazanah dan warisan alam di sekitar Teluk Intan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN