Enggan pulangkan, polis rampas kereta rasmi YB viral - Utusan Malaysia

Enggan pulangkan, polis rampas kereta rasmi YB viral

INSPEKTOR Nor Izrayasrina Muhamad Saad menyerahkan dokumen dan kunci kenderaan kepada Penolong SUK, Ahmad Zuhri Sapian sambil disaksikan Abdul Majid Mohd. Ali  (kiri) di IPK Melaka, Bukit Beruang, Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Polis merampas sebuah kenderaan rasmi kerajaan negeri daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee selepas bekas Exco itu enggan memulangkannya, sejak minggu lalu. 

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd. Ali berkata, kereta jenis Toyota Camry berwarna hitam  dirampas oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di tempat letak kereta sebuah kondominium di Jalan Tun Perak, kira-kira pukul 11.20 pagi, semalam.

Ujarnya, tindakan dilaksanakan selepas pihaknya menerima satu laporan polis yang dibuat seorang kakitangan Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Melaka mengenai keengganan Norhizam untuk memulangkan kenderaan terbabit. 

“Susulan menerima laporan itu,  pegawai dan anggota daripada JSJK IPK Melaka bertindak merampas kenderaan tersebut di sebuah tempat letak kereta di Jalan Tun Perak, kira-kira pukul 11.20 pagi, semalam. 

“Mengikut laporan dibuat, Norhizam didakwa enggan memulangkan kenderaan tersebut, walaupun satu surat arahan untuk berbuat demikian telah dikeluarkan oleh Ketua Penolong Setiausaha Kanan Kerajaan pada 5 Oktober lalu dan diserahkan kepada pegawai khasnya,” katanya dalam sidang akhbar di IPK Melaka, Bukit Beruang, di sini hari ini.

Terdahulu akhbar ini melaporkan,  Norhizam yang popular dengan gelaran YB (yang berhormat) viral hanya akan memulangkan semula semua aset kerajaan negeri jika 27 wakil rakyat yang lain turut melakukan perkara sama. 

Katanya, Dewan Undangan Negeri (DUN) sudah dibubarkan, tetapi beliau berasa hairan kerana  hanya tiga Exco kerajaan negeri  termasuk dirinya diarahkan berbuat demikian

Tambah Abdul Majid, rampasan dilakukan selepas polis mendapatkan waran geledah daripada Mahkamah Majistret Ayer Keroh pada hari sama laporan diterima bagi mengesan dan merampas barang kes.

Jelasnya, dalam pemeriksaan tersebut, pihaknya turut merampas satu kad pembayaran elektronik Touch n Go dan satu kad minyak daripada pemandu rasmi Norhizam.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, sehingga kini pihaknya telah memanggil lima saksi yang merupakan kakitangan SUK Melaka bagi tujuan rakaman percakapan dan akan memanggil bekas Timbalan Pengerusi DAP Melaka itu dalam masa terdekat untuk mendapatkan keterangan.

“Polis akan memanggil lebih ramai saksi untuk membantu siasatan di dalam kes ini termasuk Norhizam. 

“Siasatan lanjut akan dijalankan untuk mengetahui bagaimana kereta berkenaan boleh ditempatkan di kondominum terbabit serta kaitannya dengan pemilik lot tempat kereta berkenaan,” jelasnya. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyalahgunakan harta secara tidak jujur. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya