9 Jun detik hitam sukar dilupakan, tiga bulan trauma

9 Jun detik hitam sukar dilupakan, tiga bulan trauma

ABDUL Wafiy Kamarudin semasa berkongsi pengalaman pahit terlibat dalam kemalangan yang meragut nyawa 15 rakannya selepas Majlis Tautan Kasih dan Ukhwah UPSI Bersama Waris Insiden Gerik 2025, Pasir Puteh, Kelantan. - UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH: Salah seorang mangsa yang terselamat dalam kemalangan bas meragut nyawa 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Kilometer 53 Jalan Raya Timur-Barat, Gerik, Perak setahun lalu, tidak akan melupakan tarikh 9 Jun sepanjang hayatnya.

Abdul Wafiy Kamaruddin, 24, berkata, walaupun tempoh setahun sudah berlalu, tarikh itu kekal terpahat dalam ingatannya sebagai detik hitam yang sukar dilupakan.

“Saya rasa macam kejadian itu baru berlaku. Rasa sekejap sahaja masa berlalu. Tiba-tiba sudah setahun. 9 Jun adalah detik hitam bukan sahaja kepada saya, tetapi kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya selepas  Majlis Tautan Kasih dan Ukhwah UPSI Bersama Waris Insiden Gerik 2025, di sini, hari ini.

Mengimbas kembali suasana sebelum tragedi itu, Abdul Wafiy berkata, semua pelajar berada dalam keadaan gembira kerana mahu kembali ke kampus selepas cuti Hari Raya Aidiladha dari Jertih, Terengganu.

Katanya, sebaik sahaja tersedar daripada kemalangan, perkara pertama yang dilihatnya adalah mayat rakan-rakan yang bergelimpangan di lokasi kejadian selain jeritan meminta tolong.

“Pada awalnya saya mahu menolong seramai mungkin pelajar yang cedera teruk tetapi keadaan mangsa ketika itu sangat teruk dan saya tidak mampu berbuat banyak.

“Bagaimanapun, saya tetap cuba membantu mereka yang berada berhampiran dengan saya. Hampir tiga bulan saya trauma dengan kejadian tersebut,” ujarnya.

Abdul Wafiy yang duduk di bahagian paling belakang sebelah kanan bas berkata, pengalaman ngeri itu turut menyebabkannya berdepan trauma untuk menaiki kenderaan.

Katanya, setiap kali ingin menaiki kenderaan selepas kejadian itu, dia berasa takut dan cemas namun keadaan tersebut semakin pulih dari semasa ke semasa.

“Trauma itu masih ada sedikit tetapi semakin beransur pulih. Alhamdulillah sekarang saya sudah boleh menaiki bas dan kenderaan lain seperti biasa,” ujarnya.

Katanya, sokongan keluarga, rakan-rakan, pihak UPSI serta kaunselor universiti menjadi faktor utama yang membantu dirinya bangkit daripada trauma.

“Pihak kaunseling UPSI sentiasa memantau kami. Keluarga pula sentiasa memberi semangat dan sokongan kepada saya. Saya rasa trauma itu semakin hilang kerana sokongan kuat daripada mereka semua,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN