Lelaki dipenjara 26 tahun tikam bekas kekasih 17 kali

Lelaki dipenjara 26 tahun tikam bekas kekasih 17 kali

ASHRAF menyerang mangsa di lobi bangunan pejabat dan menikamnya 17 kali ketika cuba menyelamatkan diri.- AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HAMPSHIRE: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara 26 tahun kerana cubaan membunuh selepas menyerbu pejabat bekas kekasih dan menikam wanita terbabit sebanyak 17 kali di hadapan rakan sekerja.

Anwar Ashraf, 39, menceroboh masuk ke pejabat di Whiteley, Hampshire, tempat Carla Skeites bekerja, selepas menghantar banyak mesej yang memaksa mangsa untuk berbincang.

Bersenjatakan pisau dapur, Ashraf menyerang Skeites di lobi bangunan pejabat itu dan menikamnya 17 kali ketika mangsa cuba menyelamatkan diri.

Serangan itu hanya dihentikan apabila seorang rakan sekerja berjaya menahan suspek sebelum polis tiba di lokasi kejadian.

Hakim menyifatkan mangsa terselamat sebagai satu ‘keajaiban’, selepas Skeites mengalami kecederaan serius pada paru-paru serta patah dua tulang rusuk.

Mahkamah turut dimaklumkan, Ashraf mempunyai masalah alkohol dan obses dengan mangsa selepas hubungan mereka berakhir, selain menuduh wanita itu curang.

Menurut keterangan kepada kepada juri, dia menghantar mesej dan mengugut akan membunuh mangsa beberapa hari sebelum serangan tersebut.

Mahkamah diberitahu, Ashraf berada dalam keadaan mabuk, bersikap obsesif dan berterusan mengganggu mangsa.

Ashraf sebelum ini mengaku bersalah atas kesalahan mencederakan dengan niat menyebabkan kecederaan parah serta memiliki senjata tajam, namun menafikan mahu membunuh mangsa.

Dia dikenakan hukuman penjara selama 31 tahun, dengan 26 tahun di dalam tahanan dan lima tahun lagi di bawah pengawasan.- AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN