Dua rakan disamun lelaki menyamar polis - Utusan Malaysia

Dua rakan disamun lelaki menyamar polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dua rakan rugi RM3,020 apabila disamun dua lelaki yang menyamar sebagai polis di sebuah rumah di Jalan Pandan Indah di sini, kelmarin.

Kejadian berlaku kira-kira 2.30 petang apabila mangsa masing-masing wanita berusia 23 tahun dan rakan lelakinya berusia 27 tahun sedang berehat dalam bilik.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, mangsa mendakwa didatangi dua lelaki memakai pakaian preman dan memperkenalkan diri sebagai pegawai polis tanpa menunjukkan pengenalan diri.

Katanya, lelaki itu memarahi dan menengking mangsa menyebabkannya dia ketakutan.

“Suspek juga menyatakan pengadu mempunyai rekod dikehendaki dan perlu dibawa ke balai.

“Suspek kemudiannya bertindak mengambil dompet dan telefon bimbit milik kedua-dua mangsa menyebabkan kerugian RM3,020,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mohamad Farouk, suspek kemudian keluar dari rumah dan menyatakan mahu memanggil anggota polis peronda sebelum bertindak melarikan diri.

Jelas beliau, susulan itu, pihaknya berjaya menahan seorang suspek berusia 54 tahun di sekitar Ampang pada 5 petang semalam.

“Pemeriksaan mendapati suspek tidak bekerja serta dua telefon bimbit dipercayai milik seorang daripada mangsa turut ditemukan.

“Semakan juga mendapati suspek mempunyai empat rekod jenayah lampau berkaitan kes pemerasan dan mendatangkan kecederaan serta satu rekod dadah,” katanya.

Tambahnya, hasil ujian saringan awal air kencing suspek juga didapati positif dadah jenis methamphetamine.

“Suspek direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan, Seksyen 170 kanun yang sama dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Merbahaya 1952,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.