Dua PATI maut dipukul ombak - Utusan Malaysia

Dua PATI maut dipukul ombak

SALAH satu mayat dipercayai PATI warga Indonesia dipercayai lemas akibat tongkang yang dinaiki kira-kira 40 orang karam dipukul ombak ketika menghampiri Pantai Kelanang, Morib di Banting, Kuala Langat, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Dua pendatang asing tanpa asing (PATI) ditemukan maut setelah dipercayai cuba memasuki negara melalui Pantai Kelanang di Morib, Banting di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd. Nor @ Saleh berkata, mereka di antara lebih 20 PATI yang ditemukan pihaknya setelah bot yang dinaiki mereka dipukul ombak.

“Kami telah menemukan dua mayat dipercayai dua suspek lain, masing-masing di Pantai Kelanang dan Pantai Morib kira-kira pukul 6.50 pagi dan 9.30 pagi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, polis menerima panggilan berhubung kes terbabit kira-kira pukul 6.50 pagi dan apabila tiba di lokasi kejadian, didapati 14 orang PATI dipercayai warga Indonesia telah mendarat di pantai tersebut.

Susulan itu, Polis dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuala Langat bersama Pasukan Gerakan Am Briged Tengah melalui Op Benteng pergi ke tempat kejadian dan berjaya menahan seramai lapan PATI dipercayai warga Indonesia terdiri daripada dua lelaki dan enam wanita yang cuba mendarat di sekitar perkampungan Klanang dan kebun sawit berhampiran Pantai Kelanang.

Menurut keterangan daripada suspek, kesemua mereka menaiki sebuah tongkang bersama lebih kurang 40 PATI yang lain.

Kata Ahmad Ridhwan, ketika menghampiri pantai, tongkang tersebut karam akibat dipukul ombak lantas mereka terpaksa berenang kira-kira 80 meter untuk sampai ke darat.

“Kami telah menahan kesemua mereka, yang berumur dalam lingkungan 30an hingga 40an. Semasa operasi yang dibuat kami bersama Pasukan Gerakan Am (PGA) Bridged Tengah, kesemua yang ditahan didapati tidak mempunyai dokumen pengenalan diri,” jelasnya. 

Justeru, Ahmad Ridhwan memaklumkan satu operasi yang dianggotai kira-kira 50 anggota daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat, PGA Briged Tengah, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Malaysia (APM), Pasukan Polis Marin Malaysia (PPM) dan Pasukan Gerakan Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah dilancarkan bagi mencari PATI yang hilang atau melarikan diri.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai pas atau permit yang sah tinggal di Malaysia.

“Mereka telah menjalani ujian saringan di Klinik Kesihatan Tanjong Sepat, Kuala Langat sebelum dibawa ke IPD Kuala Langat untuk tindakan selanjutnya,” katanya.-UTUSAN ONLINE 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya