KUALA LUMPUR: Kumpulan rock Indonesia, Feast, mengimbau detik sukar apabila hampir menyaksikan mereka berpecah sebelum kemunculan album Membangun & Menghancurkan yang menjadi titik kebangkitan semula kumpulan tersebut.
Menurut vokalisnya, Daniel Baskara Putra, ketika proses menghasilkan album berkenaan, hubungan sesama anggota berada pada tahap paling kritikal sehingga mereka menjangkakan ia bakal menjadi karya terakhir sebelum membawa haluan masing-masing.
“Ketika itu, kami menyangka album ini akan menjadi album terakhir sebelum kami berpisah. Kami hampir membubarkan kumpulan.
“Memang sudah tiada lagi keserasian antara kami. Selepas 12 tahun bersama, keserasian itu seolah-olah hilang.
“Malah, saya rasa tempoh yang panjang bersama-sama sedikit sebanyak memburukkan keadaan ketika itu.
“Kami akhirnya melakukan refleksi dan menulis semula album ini. Hanya dua lagu dikekalkan daripada draf asal, manakala selebihnya diganti,” katanya pada sidang media khas di Hotel citizenM, di sini, semalam.
Mengulas mengenai konsert solo pertama Feast di Zepp Kuala Lumpur yang berlangsung selama dua hari bermula semalam, pemain bes, Fadli Fikriawan, menyifatkan Malaysia sebagai ‘rumah kedua’ buat kumpulan itu memandangkan sokongan luar biasa yang diberikan peminat tempatan yang digelar ‘Kelelawar Malaysia’.
“Setiap kali datang ke sini, kami anggap seperti membuat persembahan di tempat sendiri kerana suasananya benar-benar terasa seperti di rumah.
“Antara komuniti peminat terbesar dan paling aktif yang kami miliki adalah di sini, iaitu Kelelawar Malaysia.
“Walaupun peminat kami di Jakarta juga ramai, Malaysia khususnya Kuala Lumpur merupakan antara lokasi yang mempunyai kelompok peminat terbesar.
“Sebab itu kami memilih untuk menutup era Membangun & Menghancurkan menerusi konsert di Malaysia. Kami juga menyediakan sedikit kejutan buat peminat di sini, namun masih belum boleh didedahkan,” katanya.
Dalam pada itu, Baskara berkata, konsert berkenaan turut menampilkan beberapa pembaharuan termasuk elemen seni tradisional menerusi kemunculan penari di atas pentas.
“Apabila kami mempunyai dua hari persembahan, ia menjadi cabaran untuk menyusun keseluruhan perancangan.
“Kami perlu memikirkan cara memastikan persembahan kedua kekal segar dan berbeza.
“Sama seperti pendekatan yang dilakukan di Jakarta dan Surabaya, persembahan di Kuala Lumpur juga mempunyai keistimewaan tersendiri termasuk penampilan penari dan beberapa elemen lain,” katanya.
Selain Baskara dan Fadli, Feast turut dianggotai Adnan Satyanugraha serta Dicky Renanda sebagai pemain gitar.
Terdahulu, album Membangun & Menghancurkan dinobatkan sebagai Album Rock Terbaik pada Anugerah Musik Indonesia (AMI) 2025. Feast pertama kali tampil di Malaysia menerusi festival muzik TAPAUfest yang berlangsung di Lenggong, Perak pada tahun 2022. -UTUSAN










