Parti Bersama jadi 'pengacau' dalam PRN Johor - Utusan Malaysia

Parti Bersama jadi ‘pengacau’ dalam PRN Johor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kemunculan Parti Bersama Malaysia (Bersama) dilihat bukan sahaja mampu menjadi pencabar buat PKR malah kepada semua parti yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke -16.

Naib Presiden PKR, Chang Lih Kang bagaimanapun berkata, PKR bersama gabungan parti politik dalam Pakatan Harapan (PH) tetap bersedia berdepan dengan mana-mana lawan pada PRN Johor.

Beliau berkata, menjadi kelaziman dalam amalan demokrasi di negara ini yang membenarkan mana-mana parti untuk mengambil bahagian dan bertanding dalam pilihan raya.

“Jadi, kita ambil satu pendekatan terbuka dengan mengalu-alukan semua parti yang berhasrat untuk bertanding, kalau bukan Bersama pun, ada parti-parti lain akan bertanding.

“Apabila ada parti baharu muncul, memang dia akan mengganggu gugat kepada status quo. Jadi, ia bukan saja memberi kesan kepada PKR, tetapi juga kepada semua parti,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan Bangunan Tambahan Baharu Kimia Johor, di sini hari ini.

Pada 17 Mei lalu, bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli dan bekas Naib Presiden PKR, Nik Najmi Nik Ahmad mengumumkan keluar daripada parti itu dan mengambil alih Bersama yang didaftarkan di Pulau Pinang pada tahun 2016.

Sementara itu, mengulas tentang kewajaran PRN Johor dan PRN Negeri Sembilan diadakan serentak, Ahli Parlimen Tanjong Malim itu berkata perkara itu bergantung kepada bidang kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Sebenarnya, Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan telah pun dibubarkan, dan apa yang berlaku sekarang adalah isu dalaman istana. Jadi, kita tidak campur. Sebagai ahli politik, kita lihat negeri sudah pun bubar, maka kita akan beri tumpuan untuk hadapi PRN,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN