PETALING JAYA: Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye menyifatkan kelonggaran rentas negeri yang dijangka diumumkan tidak lama lagi perlu seiring dengan perasaan tanggungjawab iaitu mempunyai disiplin kendiri kuat.
Beliau berkata, ini kerana kebenaran rentas negeri menyaksikan semua pihak tidak lagi dikawal oleh sekatan jalan raya, maka mereka sendiri bertanggungjawab terhadap penjagaan diri.
“Pada fasa ini, kerajaan haruslah menekankan kawalan kendiri bagi mengelakkan kita tidak menjadi punca atau terlibat dalam mana-mana kluster baru.
“Pada masa ini, walaupun kita sudah boleh berjumpa kesayangan kita, tetaplah berpesan kepada diri dan keluarga untuk sentiasa menjaga penjarakan sosial sesama kita,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, kadar populasi dewasa lengkap vaksinasi negara mencatatkan 89.1 peratus setakat malam tadi.
Perkembangan itu menyaksikan berbaki 0.9 peratus untuk menyasar kadar lengkap 90 peratus vaksinasi Covid-19 populasi rakyat berusia 18 tahun ke atas.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga mengumumkan, kelonggaran rentas negeri dibenarkan apabila negara mencapai 90 peratus kadar vaksinasi dewasa berdasarkan data dan analisis dibuat Kementerian Kesihatan.
Menurut Lam Thye, amalan pembersihan kendiri seperti kerap mencuci tangan dan kurangkan bersentuhan perlu sentiasa diamalkan.
Katanya, perkara itu agar seseorang itu dapat mencegah penularan wabak yang tidak dapat dilihat ini.
“Sekiranya ada tanda-tanda kurang sihat, terus segera lakukan ujian kendiri bagi mengenal pasti sama ada kita dijangkiti Covid-19 untuk membolehkan kita membuat pengasingan kendiri.
“Saya sangat berharap agar penjualan kit kendiri dapat direndahkan lagi kerana harga jualan sekarang masih ditahap membebankan.
“Ini memandangkan ia bakal menjadi keperluan dalam fasa endemik bagi setiap rakyat dan memudahkan ujian Covid-19 dalam kalangan masyarakat tanpa menambahkan bebanan kepada sektor kesihatan,” katanya.
Menurut beliau, pihaknya juga tidak menafikan seluruh negara sedang teruja menanti kadar vaksinasi untuk golongan dewasa mencapai 90 peratus yang dijangka dalam sehari dua ini.
Katanya, rakyat juga pastinya menyambut baik pengumuman kebenaran itu kerana akhirnya mereka dapat kembali menemui insan tersayang yang lama terpisah kerana Covid-19.
“Semestinya anak-anak di bandar raya teruja berjumpa ibu bapa dan saudara-mara di desa, semuanya tidak sabar menanti untuk berjumpa secara fizikal insan-insan yang disayangi dalam kehidupan mereka.
“Bukan itu sahaja, kebenaran rentas negeri turut dapat menggerakkan sektor ekonomi terutama yang melibatkan pengangkutan awam, penghantaran barangan dan perniagaan di seluruh negara.
“Penjaja-penjaja di lebuh raya kembali menerima pengunjung dan bas-bas awam menerima penumpang serta sektor-sektor yang lain,” katanya.
“Selain itu katanya, rentas negeri juga dapat menghidupkan aktiviti sosial yang melibatkan keluarga seperti hari keluarga, program gotong royong dan aktiviti riadah santai yang dapat mengeratkan semula silaturrahim selepas sekian lama tidak bertaut.
“Kebenaran rentas negeri juga menyaksikan sektor pelancongan dibuka semula dan mereka yang terjejas teruk seperti pengusaha hotel, inap desa serta kawasan-kawasan pelancongan kembali menerima pengunjung dan memperbaiki semula perniagaan mereka.
“Kesemua kebenaran aktiviti ini seperti melancong dan berjumpa keluarga dapat membantu negara dalam menangani masalah kesihatan mental yang semakin serius dalam kalangan warga kota terutama golongan belia,” katanya. – UTUSAN ONLINE