Bas persiaran di Pantai Timur kritikal, mampu bertahan selama dua bulan

Diesel: Bas persiaran di Pantai Timur kritikal, mampu bertahan selama dua bulan

AHLI  Persatuan Bas Pantai Timur (Pebat) berhimpun secara aman meminta campur tangan Perdana Menteri membantu mereka bagi memastikan perkhidmatan bas persiapan di Pantai Timur tidak gulung tikar di Pengkalan Chepa, Kelantan. - UTUSAN/YATIMIN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kira-kira 1,000 pengusaha bas persiaran di Pantai Timur mendakwa perkhidmatan mereka semakin kritikal dan hanya mampu bertahan sekitar dua bulan susulan kenaikan mendadak harga diesel yang menekan kos operasi.

Timbalan Persatuan Bas Pantai Timur (Pebat), Wan Mohd. Nuhairi Wan Hamat berkata, lebih merumitkan apabila pelanggan mula membatalkan tempahan yang dibuat selepas tidak mampu menampung peningkatan kos antara 30 hingga 40 peratus.

“Sebelum diesel naik mendadak, sewa bas untuk satu trip pergi dan balik dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur RM3,000 sehari. Hari ini, kos itu sudah mencecah RM5,000 untuk jarak  sama.

“Jika kenaikan harga diesel terus berlaku berkemungkinan besar banyak syarikat terpaksa ‘gulung tikar’ seterusnya menutup operasi. Bila tutup operasi yang hilang pendapatan termasuk pemandu dan kakitangan sokongan lain,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, lebih 50 ahli Pebat berhimpun secara aman meminta campur tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membantu mereka bagi memastikan perkhidmatan bas persiapan di Pantai Timur tidak gulung tikar.

Menurut Wan Mohd. Nuhairi, campur tangan Perdana Menteri itu sangat diperlukan kerana mereka sudah tidak mampu untuk menyerap pertambahan kos perkhidmatan selepas harga diesel mencecah RM6.02 seliter ketika ini.

Katanya, sektor bas persiaran di Pantai Timur bergantung sepenuhnya kepada tempahan dari pihak sekolah, institusi pengajian dan masyarakat tempatan.

Ujarnya, situasi itu berbeza dengan syarikat di bandar besar yang menerima pelancong asing secara konsisten.

“Sebagai contoh, dalam setahun, hampir lima bulan kami tiada pendapatan apabila tidak menerima sebarang tempahan pada  Ramadan serta November dan Disember kerana musim tengkujuh.

“Januari dan Februari juga tidak menerima tempahan kerana bagi sektor sekolah belanjawan belum diluluskan pada waktu tersebut,” ujarnya.

Wan Mohd. Nuhairi berkata, Pebat sudah mengemukakan permohonan mendapatkan subsidi kepada kerajaan termasuk Kementerian Pelancongan dan Kementerian Kewangan kira-kira dua minggu lalu.

Katanya, bagaimanapun Pebat masih belum menerima sebarang maklum balas.

“Kami bersedia berbincang dan menerima apa juga syarat yang ditetapkan kerajaan, asalkan bantuan dapat diberikan demi kelangsungan industri dan kebajikan pekerja.

“Pada peringkat awal, kami berharap jika kerajaan sudi memberikan subsidi diesel pada harga RM1.88 namun jika dinaikkan kepada RM2.15 pun kami terima, ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN