NEW YORK: Kesilapan kecil dalam dokumen cukai telah menjejaskan pulangan bayaran kepada lebih 50,000 pembayar cukai di negeri New York.
Ini menyebabkan sebahagian daripada mereka menerima bayaran lebih rendah daripada yang sepatutnya.
Sebahagian yang lain pula menerima notis menuntut bayaran tambahan.
Meskipun kesilapan itu dilaporkan telah diperbetulkan, namun sehingga kini masih ramai yang belum menerima baki pulangan penuh mereka.
Isu ini mula dikesan pada awal Mac apabila Jabatan Percukaian dan Kewangan (DTF) negeri mengeluarkan notis mengenai ralat. Ia melibatkan penduduk New York berstatus berkahwin dan memfailkan cukai secara bersama atau memfailkan sebagai pasangan yang masih hidup.
Menurut laporan Times Union, pengurangan pulangan tersebut berpunca daripada kesilapan taip dalam salah satu jadual penahanan yang disertakan dalam borang cukai.
Jabatan berkenaan menyatakan bahawa ralat itu mula dikesan pada minggu ketiga Februari dan telah diperbetulkan sekitar awal Mac. Bagi mereka yang belum memfailkan cukai, proses mereka tidak akan terjejas oleh kesilapan ini.
Masalah ini menjejaskan kira-kira 52,000 orang di negeri New York, iaitu kurang daripada satu peratus daripada keseluruhan individu yang dijangka memfailkan penyata cukai musim ini.
Setakat 1 April, hampir 6 juta penduduk telah pun menghantar penyata cukai mereka. Secara keseluruhan, seramai 11 juta orang dijangka menghantar penyata cukai sama ada sebagai penduduk tetap atau penduduk sambilan di negeri berkenaan. – AGENSI










