KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP menolak keputusan pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Dewan Undangan Negeri (DUN) di Melaka.
Bantahan itu hadir setelah empat wakil rakyat di negeri itu menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Sulaiman Md. Ali daripada Barisan Nasional (BN).
Penolong Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Khoo Poay Tiong berkata, negara tidak sepatutnya mengulangi kesilapan terdahulu menyorot situasi semasa PRN di Sabah, pada tahun lalu yang mengakibatkan kes jangkitan Covid-19 naik secara mendadak.
“Malaysia sedang beransur pulih daripada krisis Covid-19 dan pilihan raya akan menjejaskan proses pemulihan tersebut.
“Kita tidak harus mengulangi kesilapan seperti pilihan raya negeri Sabah pada tahun lepas yang telah menyebabkan peningkatkan kes Covid-19 secara mendadak dan kerajaan hilang kawalan terhadap virus tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, ahli Parlimen Kota Melaka itu turut menegaskan krisis politik di Melaka wajar diselesaikan segera supaya perhatian dapat dikembalikan kepada kesejahteraan rakyat.
“Politik dalaman dan ahli-ahli politik yang tidak berpuas hati tidak seharusnya menjadi gangguan terhadap usaha-usaha negara mengatasi krisis kesihatan dan krisis ekonomi semasa,” katanya.
Yang Dipertua DUN Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh hari ini memaklumkan pembubaran DUN Melaka ke-14 setelah kerajaan negeri pimpinan Sulaiman hilang sokongan majoriti.
Kemelut politik itu tercetus ekoran empat ADUN yang dikepalai oleh ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron bersama tiga ADUN lain iaitu ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan; Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) dan Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) menarik sokongan terhadap kepemimpinannya semalam.
Pembubaran DUN setelah Sulaiman hilang kepercayaan wakil rakyat membuka jalan kepada pilihan raya negeri namun, ia dilihat bukanlah jalan terbaik bagi menyelesaikan masalah itu menyorot kes PRN di Sabah yang menyumbang kepada penularan jangkitan Covid-19 sejak September tahun lalu.
Cara terakhir bagi mengelakkan pilihan raya walaupun program vaksinasi sudah mencapai lebih 80 peratus adalah dengan mengisytiharkan darurat setempat di Melaka.
Untuk rekod, Sarawak diisytiharkan darurat selama enam bulan sehingga 2 Februari 2022 selaras di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) Sarawak 2021 diterbitkan dalam Warta Persekutuan semalam dan akan berkuat kuasa mulai 2 Ogos. – UTUSAN ONLINE










