Bomba cadang kenaikan pangkat Allahyarham Mohd. Diya

Bomba cadang kenaikan pangkat Allahyarham Mohd. Diya

MOHD. DIYA CHE JUSOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan memastikan balu kepada Pegawai Bomba Kanan (PBK) ll, Allahyarham Mohd. Diya Che Jusoh mendapat pembelaan sewajarnya atas sumbangan kepada agensi penyelamat itu.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata, pihaknya telah menghantar surat kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi memohon pertimbangan kenaikan pangkat kepada Mohd. Diya.

Beliau berkata, kenaikan pangkat itu perlu dalam usaha untuk meringankan beban keluarga mangsa memandangkan Allahyarham meninggalkan empat orang anak.

Selain itu, katanya, kenaikan pangkat juga perlu bagi mengiktiraf jasa dan pengorbanan Allahyarham yang mati lemas dibawa arus deras di Kampung Sungai Putat, Melaka pada 20 Oktober lalu.

“Surat permohonan bagi kenaikan pangkat telah dihantar kepada kementerian. JBPM berharap kerajaan dapat pertimbangkan dan meluluskan kenaikan pangkat ini.

“JBPM juga akan salurkan bantuan yang sewajarnya kepada keluarga dan empat orang anak Allahyarham,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penganugerahan Pingat Kebesaran Jabatan dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang di sebuah hotel, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah JBPM Johor, Datuk Yahaya Madis.

Tambah Mohammad Hamdan, nama Allahyarham telah diabadikan di Tugu Peringatan Fallen Heroes di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (ABPM) Wilayah Tengah, Kuala Kubu, Selangor, pada Selasa lalu.

Allahyarham Mohd. Diya meninggal dunia selepas terlibat insiden ketika melakukan operasi menyelamat mangsa banjir di Sungai Putat, Batu Berendam pada 20 Oktober lalu.

Dia lemas dalam kejadian pada pukul 5.06 petang ketika cuba menyelamatkan seramai 14 orang penduduk kampung yang terperangkap di anjung sebuah rumah di kawasan berkenaan.

Allahyarham yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah itu meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Hospital Melaka.

Sebelum ini, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin berkata, Allahyarham berusia 46 tahun telah dinaikkan pangkat KUP 22 pada Januari 2019. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya