fbpx

8 Disember 2021, 12:46 pm

  TERKINI

Boleh gantung potret di dinding tanpa ada niat syirik  

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tindakan  menggantung gambar fotografi di dinding rumah atau disusun sebagai perhiasan termasuk di pejabat adalah perbuatan dibenarkan dalam ajaran Islam.

Demikian penjelasan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menerusi Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-631 mengenai isu hukum yang diterbitkan menerusi laman sesawang rasminya hari ini.

Menurut jawapan yang diberikan, merakam  fotografi dengan penggunaan alat khas seperti kamera adalah dihukum sebagai harus kerana ia bukan seperti perbuatan melukis, sebaliknya, rakaman tersebut dianggap sebagai menangkap bayang dan hukum ini berkekalan selama mana gambar diambil bertujuan sebagai perhiasan serta  kenang-kenangan.

 Ia sebagai menjawab persoalan hukum mengambil gambar fotografi manusia terutama potret pemimpin negara atau keluarga yang lazim digantung di dinding rumah atau pejabat.

 Mengulas lanjut, agensi berkenaan memaklumkan, sekiranya niat menggantung gambar itu bertujuan penyembahan atau pengagungan, maka perbuatan tersebut adalah jelas diharamkan.

 Hukum ini ujar pejabat itu, pada mulanya berkait rapat dengan perbuatan melakar atau melukis makhluk hidup dengan ada ulama mengharamkan namun ada turut mengharuskannya.

 Sebahagian ulama yang mengharamkan itu merujuk larangan pada zaman Rasulullah SAW terhadap gambar berciri ada roh, berniat mengagungkannya atau meniru penciptaan Allah.

 Bagaimanapun, Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam kitab Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu berkata, jika lakaran tubuh atau jisim dilukis itu tidak berbentuk sempurna, maka ia masih dibenarkan bersandarkan pendapat masyhur Imam Ibnu Hajar al-Asqalani dan hadis daripada Abu Hurairah diriwayatkan al-Nasaie mengenai kisah Jibril masuk ke rumah Nabi Muhammad SAW.

 Malaikat tersebut dilaporkan keberatan berbuat demikian kerana ada lukisan di langsir kecuali baginda bertindak memotong kepala pada lakaran itu atau dijadikan alas kaki untuk dipijak.

 Peristiwa ini memberi peringatan kerana dibimbangi gambar makhluk hidup akan menjadi bahan pensyirikan Allah seperti dibuat masyarakat Arab Jahiliah sebelum kedatangan Islam.

Perkara itu bertepatan dengan kaedah fiqh dirujuk ulama muktabar ketika ini iaitu sesuatu hukum berlegar bersama-sama illah atau tujuan pengharamannya, ketika ia ada dan juga tiada.

 Lukisan juga berbeza kaedah rakaman foto dengan kamera kerana dianggap proses tangkap bayang melalui cara yang khusus, menurut Syeikh Ali al-Sayis dalam kitab Tafsir Ayat Ahkam, justeru, kaedah ini tidak sama macam lukisan malah dibolehkan asalkan tidak berlaku fitnah seperti gambar perempuan yang ada memperlihatkan aurat di bahagian tubuh badannya itu.

 Pada masa sama, perbuatan menggantung gambar itu perlu bebas daripada niat dan tujuan penyembahan atau mengagungkan makhluk yang ada unsur syirik kepada keesaan Allah. – UTUSAN ONLINE 

 

POPULAR

KOSMO! TERKINI