PETALING JAYA: Banyak pemimpin industri dan perniagaan antarabangsa menunjukkan keyakinan terhadap prospek pertumbuhan ekonomi dan kestabilan politik Malaysia dengan menyatakan minat untuk melabur di negara ini dalam pelbagai bidang.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keyakinan itu dizahirkan komuniti perniagaan antarabangsa sewaktu mesyuarat meja bulat bersama lebih 50 pemimpin industri dan perniagaan pelbagai sektor dari seluruh pelosok dunia di Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Sedunia (WEF) di Riyadh, Arab Saudi.
Justeru, Perdana Menteri memberi jaminan urusan pelaburan akan dipermudah dan disegerakan terutama selepas kerajaan berjaya menangani isu kerenah birokrasi berlanjutan sejak sekian lama sebelum ini.
“Ruang ini saya gunakan untuk memaparkan keutamaan, inisiatif strategik serta kadar pertumbuhan ekonomi dan fiskal negara, selain kewujudan peluang-peluang perdagangan dan pelaburan.
“Sesi ini penting untuk saya dan rakan-rakan meyakinkan pemimpin industri untuk melabur di Malaysia, sekali gus melonjak pertumbuhan ekonomi negara serta mencipta peluang pekerjaan berkemahiran tinggi buat rakyat Malaysia” katanya menerusi satu hantaran Facebook beliau hari ini.
Antara syarikat yang menyertai sesi itu ialah Samsung, Chevron, BrainBox AI, Cisco Systems, OmniBot.ai, TotalEnergies, Lulu Group International, Deutsche Bank dan Saudi Industrial Development Fund.
Anwar percaya lebih banyak pelabur bernilai tinggi memilih Malaysia sebagai destinasi pelaburan dan mengikut jejak langkah syarikat-syarikat gergasi seperti Tesla, AWS, Infineon serta NVIDIA.
“Saya beri jaminan urusan pelaburan mereka akan dipermudah dan disegerakan, terutama selepas kerajaan berjaya menangani isu kerenah birokrasi yang berlanjutan sejak sekian lama sebelum ini,” katanya.
Sebelum ini, TotalEnergies sebuah syarikat tenaga Perancis menyatakan komitmen dan bersetuju untuk mempertingkat pelaburan dalam sektor huluan minyak dan gas serta terus meneroka peluang dalam bidang penyimpanan karbon di Malaysia.
Komitmen itu dizahirkan ketika mengadakan pertemuan Perdana Menteri bersama Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif TotalEnergies, Patrick Pouyanne di Riyadh, Arab Saudi. –UTUSAN










