Tawar gaji RM2,500 jadi ejen, RM7,000 penyelia sindiket pelaburan palsu - Utusan Malaysia

Tawar gaji RM2,500 jadi ejen, RM7,000 penyelia sindiket pelaburan palsu

M. KUMAR (kanan) menunjukkan sekumpulqn suspek terlibat dalam sindiket pelaburan palsu yang ditahan pihaknya dalam tiga serbuan berasingan di sekitar Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sindiket pelaburan palsu menawarkan gaji sebanyak RM2,500 sebulan kepada ahli yang berperanan sebagai ejen panggilan, manakala penyelia dibayar sehingga RM7,000.

Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, perkara itu terbongkar selepas pihaknya berjaya menahan 19 suspek yang terdiri daripada lapan lelaki dan tujuh wanita tempatan serta empat lelaki warga asing berusia antara 16 hingga 38 tahun dalam tiga serbuan berasingan di sekitar bandar raya ini, Khamis lalu.

“Siasatan mendapati sindiket ini menjadikan tiga kediaman yang sewa di kawasan berpagar dan berpengawal sebagai pusat panggilan dan telah beroperasi sejak Februari lalu.

“Daripada kesemua 19 suspek yang ditahan, seorang bertindak selaku penyelia dengan upah RM7,000 sebulan, manakala yang lain adalah ejen panggilan dengan upah RM2,500 sebulan.

“Sindiket tersebut turut menyediakan skrip perbualan mengikut kesesuaian mangsa, termasuk ayat-ayat manis seolah-olah pemanggil dan mangsa menjalinkan hubungan cinta sebelum meminta mangsa membuat pelaburan dengan menjanjikan pulangan lumayan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat.

Kumar berkata, sindiket itu menyasarkan mangsa warga tempatan dan asing menerusi pelbagai platform media sosial antaranya Telegram, TikTok dan WeChat.

“Mereka akan berkenalan terlebih dahulu, seolah-olah mengambil berat akan kesejahteraan mangsa sebelum meminta mereka membuat pelaburan.

“Apabila mangsa bersetuju, mereka akan diperkenalkan dengan individu lain yang menyamar sebagai pakar kewangan dan pelaburan,” katanya.

Kumar menambah, pihaknya turut merampas 73 telefon bimbit, 40 keping kad sim, 16 helai kertas skrip perbualan dan sebuah kenderaan serta seunit modem dan segugus anak kunci.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63, katanya sambil menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati dengan sebarang panggilan individu tidak dikenali yang menawarkan pelaburan dengan pulangan lumayan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×