Chegu'bard didakwa fitnah, hasut rosakkan nama baik Agong

Chegu’bard didakwa fitnah, hasut rosakkan nama baik Agong

BADRUL HISHAM SHAHARIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ahli Jawatankuasa Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Badrul Hisham Shaharin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan memfitnah dan menghasut untuk merosakkan nama baik Yang di-Pertuan Agong (YDPA).

Badrul Hisham, 45, atau lebih dikenali Chegu’bard meminta dibicarakan selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.

Mengikut pertuduhan pertama, Badrul Hisham didakwa membuat penerbitan menghasut di
Facebook atas nama ‘Chegubard’, di Taman Bukit Cheras, pukul 12.15 tengah hari pada 6 April lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4 (1) (c) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan kedua, Badrul Hisham didakwa mengeluarkan kenyataan fitnah, yang mana dia mempunyai sebab mempercayai bahawa kenyataan itu akan merosakkan nama baik Baginda.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara, Jalan Sultan Abdul Halim, di sini pukul 6 petang pada 22 Januari lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun, atau denda, atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Syed Faisal Syed Amir menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan mengambil kira kesalahan yang dilakukan melibatkan YDPA.

“Pihak pendakwaan juga memohon perintah larangan bersuara (gag order) agar kedua-dua pihak tidak mengeluarkan sebarang komen atau kenyataan umum di mana-mana platform media sosial sehingga kes selesai.

“Perintah ini perlu untuk memastikan perjalanan kes tidak dikacau ganggu selain bagi mengekalkan ketenteraman awam dan mengelakkan komen-komen provokasi yang akan memburukkan keadaan,” katanya.

Bagaimanapun peguam Rafique Rashid Ali yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan lebih rendah atas alasan tertuduh menanggung isteri dan empat anak.

“Selain itu, jumlah jaminan RM20,000 yang ditawarkan agak tinggi berbanding hukuman yang diperuntukkan oleh seksyen itu (RM5,000).

“Pihak kami juga membantah perintah larangan bersuara kerana berpendapat ia tidak berpelembagaan kerana rakyat perlu diberi kebebasan bersuara. Pihak pendakwaan juga tidak mengkhususkan perintah larangan yang dipohon,” katanya.

Selepas mendengar makluman dan permohonan kedua-dua belah pihak, Siti Aminah kemudian membenarkan Badrul Hisham diikat jamin RM10,000 bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 27 Mei ini bagi sebutan kes.

Mahkamah juga turut menolak permohonan pihak pendakwaan bagi perintah larangan bersuara.

Semalam Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, Che’gubard ditahan dan reman dua hari untuk siasatan mengikut Akta Hasutan 1948.

Media melaporkan peguam Rafique Rashid mengesahkan anak guamnya berdepan pertuduhan mengeluarkan kenyataan menghasut berhubung isu pengasas KK Supermart & Superstore Sdn. Bhd. yang mengadap Sultan Ibrahim. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN