SHAH ALAM: Pasangan pengasas KK Mart, Datuk Seri Chai Kee Kan dan isteri Datin Seri Loh Siew Mui bercadang mengemukakan representasi terhadap pertuduhan dihadapinya berkenaan dakwaan penjualan stoking yang tertera kalimah ‘Allah’.
Perkara itu dinyatakan peguam yang mewakili mereka, Datuk Rajpal Singh dalam prosiding sebutan semula di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Muhamad Anas Mahadzir, hari ini.
Menurut beliau, permohonan tersebut akan dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) selepas meneliti kesemua dokumen yang diserahkan kepada mahkamah.
Terdahulu dalam prosiding sama, Timbalan Pendakwa Raya Khairul Azreem Mamat, memohon Kee Kan dan Siew Mui dibicarakan bersama dengan tiga dari syarikat pengedar, Xin Jian Chang Sdn Bhd iaitu Goh Huay (Pengarah), Soh Hui San (Pengarah) dan Soh Chin Huat (Pengarah).
Permohonan tersebut dibenarkan Hakim Muhamad Anas selepas tiada bantahan daripada pihak KK Mart dan syarikat pengedar.
Beliau kemudian menetapkan tarikh pengurusan kes seterusnya pada 10 Jun bagi membolehkan pihak pembelaan meneliti dokumen serta mengemukakan permohonan representasi.
Sementara itu, Rajpal ketika ditemui di luar mahkamah memberitahu, pihaknya akan mendapatkan maklumbalas anak guam terlebih dahulu selepas kesemua dokumen yang dikemukakan pada hari ini diteliti.
“Kita belum tentukan lagi permohonan representasi yang akan dikemukakan kepada AGC sama ada menggugur atau membatalkan pertuduhan. Kita juga akan berbincang dengan peguam syarikat pengedar sama ada akan mengambil tindakan sama ataupun tidak
“Kita akan semak dokumen tersebut dan mendengar arahan daripada anak guam. Sudah tentu permohonan representasi akan dikemukakan sebelum tarikh sebutan semula pada 10 Jun. Pada tarikh itu juga status permohonan representasi akan diketahui,” katanya.
Prosiding hari ini dikendalikan pasukan pendakwaan yang diketuai Khairul Azreem dan dibantu oleh Noor Haslinda Che Seman dan Nadia Mohd. Izhar.
Pasukan pembelaan diketuai oleh Rajpal dan dibantu Datuk David Gurupatham dan dibantu oleh Datuk R.S Sodhi, Datuk Theng Book serta James Ee, sementara ketiga-tiga pengarah syarikat pengedar diwakili peguam, Lau Yi Leong.
Dalam pertuduhan pada 26 Mac lalu, Hakim Muhamad Anas membenarkan kelima-lima tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 setiap seorang selepas kesemua mereka mengaku tidak bersalah atas pertuduhan berkaitan kesalahan penjualan stoking bercetak kalimah ‘Allah’ pada awal bulan lalu.
Berdasarkan pertuduhan, mereka didakwa mengganggu dan melukakan perasaan terhadap kepercayaan agama orang lain dengan mempamerkan stoking bercetak kalimah Allah pada rak jualan yang kemudian dilihat oleh seorang lelaki berusia 32 tahun.
Kesalahan itu didakwa dilakukan dekat sebuah cawangan KK Mart Bandar Sunway, Subang Jaya pada jam 6.30 pagi, 13 Mac lalu.
Justeru mereka dituduh di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga setahun, atau denda atau kedua-duanya sekali.
Turut dituduh adalah kedua-dua syarikat iaitu KK Supermart & Superstore Sdn Bhd (KK Mart) dan pengedar yang masing-masing diwakili Kee Kan dan Chin Huat. – UTUSAN










