Bilangan baharu jemaah surau, masjid akan ditentukan - Utusan Malaysia

Bilangan baharu jemaah surau, masjid akan ditentukan

ABDUL Aziz Mohd. Yusof (tengah) memegang plakad sebagai simbolik menerima zakat perniagaan daripada Teraju Ekonomi Asnaf Sdn. Bhd. (TERAS) di ibu pejabat PKPS di Shah Alam, Selangor. - UTUSAN/MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah akan membuat keputusan berhubung jumlah bilangan jemaah untuk menunaikan solat Jumaat dan lima waktu di masjid dan surau di negeri ini.

Penentuan bilangan jemaah itu pastinya ditunggu-tunggu apabila Selangor sudah pun memasuki Fasa 4 dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof bagaimanapun berkata, keputusan tersebut boleh dibuat sekiranya mendapat kebenaran daripada Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Apabila Kementerian Kesihatan dan MKN memberikan lampu hijau, MAIS, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Jabatan Mufti Negeri Selangor akan bermesyuarat berhubung perkara tersebut.

“Hasil mesyuarat tersebut akan dipersembahkan kepada Sultan Selangor untuk baginda membuat keputusan berhubung jumlah bilangan jemaah ketika solat Jumaat dan lima waktu secara berjemaah di masjid dan surau,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan dividen, zakat perniagaan, sumbangan wakaf dan anak yatim serta modal perniagaan EMP Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) di ibu pejabat Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di sini.

Bulan lalu, JAIS memaklumkan sehingga 500 jemaah termasuk pentadbir masjid dapat menunaikan solat Jumaat manakala 300 jemaah termasuk pentadbir untuk solat lima waktu secara berjemaah.

Keputusan tersebut dibuat setelah jumlah jangkitan harian Covid-19 menurun sementara kadar vaksinasi di Selangor telah mencapai lebih 90 peratus daripada keseluruhan penduduk negeri ini.

Dalam isu berasingan, Abdul Aziz dimaklumkan oleh pihak JAIS bahawa guru Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA), pegawai masjid dan jurunikah yang enggan mengambil vaksin Covid-19 sebelum ini, bersedia untuk mengambil vaksin itu.

“Saya tidak dapat memastikan jumlah yang bersedia untuk ambil. Namun, ini adalah satu perkara baik kerana kita hendak kurangkan risiko penularan Covid-19 di masjid, surau dan sekolah KAFA,” jelasnya.

Menurutnya, MAIS dan JAIS masih memberi peluang kepada kumpulan ini mengambil vaksin untuk satu tempoh, sebelum mengambil tindakan terhadap mereka mengikut peruntukan undang-undang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya