Lelaki mental mengaku 'sentuh' dua remaja perempuan

Lelaki mental mengaku ‘sentuh’ dua remaja perempuan

TERTUDUH diiringi polis semasa prosiding perbicaraan di Mahkamah Sesyen Pasir Mas, Kelantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR MAS: Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) mental mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua remaja perempuan di depan sebuah sekolah di Wakaf Bharu dekat Tumpat, baru-baru ini.

Abd. Sofar Abd. Satar, 48, membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Zulkipli Abdullah selepas pertuduhan terhadapnya selesai dibacakan.

Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan menyentuh anggota badan bagi maksud seksual terhadap seorang remaja perempuan berusia 14 tahun empat bulan.

Bagi pertuduhan kedua, Abd. Sofar dituduh melakukan perbuatan sama terhadap seorang remajaperempuan berusia 16 tahun.

Kedua-kedua kesalahan itu dilakukan di depan sebuah sekolah di Wakaf Bharu, Tumpati kira-kira pukul 1.30 petang pada 20 Mei 2026 dan kira-kira pukul 1.40 petang pada 31 Mac 2026.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 14 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat jika disabitkan kesalahan.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aiysha Na’ilah Harizan sementara tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Siti Aiysha Na’ilah berkata, pihak pendakwaan dimaklumkan bahawa tertuduh memiliki kad OKU kategori mental.

Menurutnya, pihak pendakwaan memohon agar tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan di Perak untuk menjalani pemeriksaan mental selama sebulan.

Abd. Sofar dalam rayuannya memaklumkan dia sudah bertaubat kepada Allah SWT dan insaf dengan perbuatan tersebut.

“Saya jadi macam ini kerana kurang kasih sayang,” katanya.

Mahkamah memerintahkan tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta untuk menjalani pemeriksaan mental selama sebulan sebelum sebarang hukuman atau keputusan diputuskan.

Mahkamah turut menetapkan 8 Julai ini untuk sebutan semula kes. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN