Dua sindiket bekal tenaga kerja asing haram tumpas 

Dua sindiket bekal tenaga kerja asing haram tumpas 

JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) Johor berjaya menumpaskan dua sindiket yang didapati mengeksploitasi Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dan pembekalan tenaga kerja asing secara haram di bandar raya Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Dua sindiket mengeksploitasi Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dan pembekalan tenaga kerja asing secara haram tumpas setelah diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor menerusi dua serbuan berasingan.

Satu sindiket yang berpangkalan di daerah ini dikesan mengaut keuntungan atas angin mencecah RM225,000 sebulan hasil daripada tindakan ‘menjual’ kuota pekerja asing kepada majikan lain.

Pengarah Imigresen Johor, Datuk Mohd. Rusdi Mohd. Darus berkata, dalam serbuan Op Serkap yang dilakukan pada Khamis lalu dan semalam, seramai tujuh suspek termasuk dua ejen pekerja ditahan.

Katanya, modus operandi sindiket berkenaan adalah dengan memohon kelulusan kuota pekerja asing bagi syarikat mereka namun tenaga kerja tersebut tidak digunakan untuk perniagaan yang didaftarkan.

“Sebaliknya, pekerja asing yang mempunyai dokumen PLKS sah itu kemudiannya dibekal dan dijual kepada majikan dalam sektor perkilangan serta pembinaan bagi meraih keuntungan mudah.

“Dalam serbuan pertama pada 4 Jun lalu, JIM Johor menyerbu pejabat agensi pengurusan pekerja asing di Pusat Perdagangan Pandan, di sini dan menahan seorang ejen lelaki warga Bangladesh berusia 33 tahun. Turut dirampas dalam operasi itu ialah 36 keping pasport warga Bangladesh dan India serta sitaan wang tunai berjumlah RM5,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, suspek yang didapati tinggal lebih masa itu ditahan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966.

Manakala dalam serbuan kedua semalam, operasi yang dijalankan di Taman Setia Tropika dan di Taman Kempas Utama, di sini berjaya menahan dua lagi ejen bersama empat pekerja asing.

“Agensi ini dipercayai telah membekal sehingga 500 pekerja asing di sekitar negeri ini sejak sindiket haram itu beroperasi. Dalam operasi itu, kami merampas 48 keping pasport Bangladesh, wang tunai RM4,300 serta menyita dua buah kenderaan milik sindiket,” katanya.

Menurutnya, kedua-dua ejen terbabit disiasat di bawah Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 manakala empat pekerja asing lain ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) akta yang sama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN