Kerajaan perluas TVET elak bergantung tenaga kerja asing

Kerajaan perluas TVET elak bergantung tenaga kerja asing

ANWAR Ibrahim pada sesi Forum Ilmuan Malaysia Madani Siri 12 ; Memacu Kedudukan Malaysia dalam Gemilang Baharu Aliran Modal Global di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Bukit Kiara di sini hari ini. UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia tidak boleh terlalu bergantung kepada tenaga kerja asing sekiranya ingin meningkatkan kedudukan ekonomi ke tahap lebih tinggi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan giat memperluaskan latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), universiti serta kolej bagi mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing.

“Apabila negara meningkat ke tahap lebih tinggi, kita akan menyedari bahawa kita tidak boleh hanya bergantung kepada tenaga buruh asing murah,” katanya dalam Forum Ilmuwan Malaysia Madani Siri 12: Memacu Kedudukan Malaysia dalam Gelombang Baharu Aliran Modal di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Pengerusi Eksekutif Top Glove Corporation Bhd., Tan Sri Lim Wee Chai berhubung keperluan penambahbaikan daripada segi kemahiran pekerja, bidang kejuruteraan dan bakat eksekutif di sektor industri.

Anwar berkata, nilai tenaga kerja di negara ini masih berada di tahap rendah dan memerlukan perhatian serius semua pihak, khususnya kerajaan dan pemain industri.

Justeru, usaha meningkatkan pendapatan rakyat perlu dipergiat bagi memastikan sasaran pampasan pekerja antara 40 hingga 45 peratus dapat dicapai demi memperkukuh pembangunan ekonomi negara.

“Ini penting bagi meningkatkan taraf hidup individu dan memastikan pertumbuhan ekonomi negara lebih seimbang serta mampan.

Dalam masa sama, masyarakat perlu memahami kewujudan jurang peluang dan ketidaksamaan yang masih berlaku dalam pelbagai sektor.

“Masih terdapat perbezaan ketara antara pencapaian rakyat biasa dengan sasaran pembangunan nasional. Oleh itu, isu ini perlu diberi perhatian lebih serius,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN