Malaysia Masters: Tang Jie-Ee Wei rebah di laman sendiri

Malaysia Masters: Tang Jie-Ee Wei rebah di laman sendiri

PASANGAN ranking keempat dunia itu gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri apabila tumpas straight set 18-21, 16-21 dalam tempoh 44 minit pada aksi suku akhir yang berlangsung sengit di Unifi Arena, Bukit Jalil, hari ini. - UTUSAN/IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Harapan beregu campuran utama negara, Chen Tang JieToh Ee Wei untuk melakar kemaraan ke separuh akhir Kejohanan Badminton Malaysia Masters 2026 musnah selepas dikejutkan gandingan baharu China, Gao Jia XuanWei Ya Xin di Arena Unifi, Bukit Jalil hari ini.

Pasangan ranking keempat dunia itu gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri apabila tumpas straight set 18-21, 16-21 dalam tempoh 44 minit pada aksi suku akhir yang berlangsung sengit.

Tang Jie-Ee Wei sebenarnya bermula positif apabila beberapa kali mendahului permainan, namun kehilangan momentum pada penghujung kedua-dua set membuka ruang kepada pasangan China itu menguasai perlawanan.

Tang Jie mengakui kelemahan utama mereka kali ini adalah kegagalan menghadirkan corak serangan lebih agresif untuk menekan lawan.

“Mereka memang ada kekuatan tersendiri tetapi saya rasa serangan kami hari ini tidak cukup agresif.

“Itu yang menyebabkan permainan kami jadi sedikit tersekat dan gagal keluar seperti dirancang,” kata Tang Jie kepada pemberita di sini, hari ini.

Ee Wei pula enggan menjadikan faktor kekurangan perlawanan sebagai alasan meskipun Malaysia Masters merupakan kejohanan pertama mereka selepas berehat lebih sebulan daripada saingan kompetitif.

“Ini memang kejohanan pertama kami selepas berehat agak lama untuk mencari semula momentum tetapi kalah tetap kalah.

“Saya rasa kami sendiri tidak berjaya mengeluarkan permainan sebenar dan mungkin 20 peratus pun belum sampai tahap sebenar kami hari ini,” katanya.

Kekalahan tersebut sekali gus menyaksikan Tang Jie-Ee Wei gagal mengulangi pencapaian terbaik mereka di Malaysia Masters apabila mara ke separuh akhir pada edisi 2024.

Untuk rekod, Jia Xuan-Ya Xin baru sahaja digandingkan bermula di Terbuka Thailand minggu lalu sebagai sebahagian daripada eksperimen China mencari kombinasi baharu menjelang kejohanan utama musim ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN