KUALA LUMPUR: Beregu campuran utama negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mengakui mereka sendiri menjadi punca kegagalan selepas tersingkir di suku akhir Kejohanan Badminton Malaysia Masters 2026 di Unifi Arena, Bukit Jalil hari ini.
Pasangan ranking keempat dunia itu gagal meneruskan cabaran apabila tunduk straight set 18-21, 16-21 kepada gandingan baharu China, Gao Jia Xuan-Wei Ya Xin dalam tempoh 44 minit.
Ee Wei mengakui mereka langsung tidak berjaya menampilkan corak permainan sebenar sepanjang aksi tersebut walaupun turun dengan status pilihan utama negara.
Menurutnya, alasan lawan merupakan pasangan eksperimen baharu langsung tidak boleh digunakan untuk menutup kelemahan sendiri di gelanggang.
“Bukan sebab itu (pasangan baharu), ini salah (kami) sendiri. Kita sendiri punya salah, bukan sebab scratch pair atau apa-apa.
“Cuma kita tidak keluarkan corak permainan kita. Saya rasa 20 peratus pun tidak sampai tahap permainan kita yang sebenar,” kata Ee Wei kepada pemberita di sini, hari ini.
Tang Jie pula melihat kelemahan paling ketara pasangan negara itu hadir menerusi kegagalan menghadirkan tekanan agresif di bahagian serangan sehingga mereka sukar mengawal tempo permainan.
“Memang mereka ada kekuatan mereka sendiri, tetapi kebanyakan hari ini saya sendiri rasa serangan di situ tidak cukup agresif. Itu yang buat permainan kami jadi seperti tersekat,” kata Tang Jie.
Selepas ini, pasangan negara dijadual mengalihkan fokus ke Terbuka Singapura minggu depan dengan mereka bakal membuka kempen menentang pasangan profesional negara, Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing pada aksi pusingan pertama. – UTUSAN










