KUALA LUMPUR: Skuad sepak takraw negara meneruskan rentak cemerlang apabila melangkah ke separuh akhir acara berpasukan Piala Dunia Sepak Takraw 2026 selepas mudah menewaskan Jepun 2-0 di Stadium Titiwangsa, sebentar tadi.
Kemenangan bergaya itu sekali gus meletakkan Malaysia semakin hampir untuk merealisasikan misi memburu kejuaraan acara berpasukan di laman sendiri.
Turun dengan aksi penuh meyakinkan, regu pertama negara yang dibarisi tekong, Mohammad Syahir Mohd. Rosdi, Farhan Adam dan Mohamad Azlan Alias sebelum diperkuatkan Muhammad Zarif Marican Ibrahim Marican pada set kedua, tidak berdepan masalah menundukkan regu pertama Jepun 15-9, 15-6.
Momentum kemenangan itu kemudian diteruskan regu kedua menerusi gandingan Zulkifli Abd Razak, Muhammad Afifuddin Mohd. Razali dan Aidil Aiman Azwawi yang turut mempamerkan aksi mantap untuk memastikan kemenangan selesa 15-6, 15-8.
Sementara itu, Muhammad Zarif berkata, peningkatan prestasinya setiap kali diturunkan sebagai pemain gantian bukanlah berlaku secara kebetulan, sebaliknya hasil persiapan mental yang sentiasa dilakukan agar berada dalam keadaan bersedia.
Menurutnya, sebagai pemain yang berperanan di posisi ‘joker’, dia perlu sentiasa bersiap siaga dan tidak boleh leka sekiranya dipanggil untuk membantu pasukan.
“Saya dah set dalam mindset saya, memang kena sentiasa bersedia untuk setiap regu sebab bermain di posisi joker, kita tak boleh lalai.
“Saya dah training, saya dah usaha dan hanya ikut arahan jurulatih. Kalau diberi kepercayaan, insya-Allah saya akan turun dan beri 100 peratus,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan.
Tambahnya, pengalaman lalu termasuk ketika beraksi di kejohanan di Thailand banyak membantu dirinya supaya lebih bersedia apabila diperlukan pasukan.
Pada aksi separuh akhir esok, skuad kendalian Ahmad Jais Baharun dijadual bakal bertemu sama ada Indonesia atau Filipina bagi meneruskan cabaran bagi memburu tiket ke final sekali gus menghidupkan peluang menjulang gelaran juara.- UTUSAN










