Perbelanjaan nuklear global cecah rekod tertinggi RM483 bilion - Utusan Malaysia

Perbelanjaan nuklear global cecah rekod tertinggi RM483 bilion

GAMBAR fail pasukan peluru berpandu Russia menjalankan latihan senjata nuklear taktikal. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

STOCKHOLM: Perbelanjaan global untuk senjata nuklear melonjak ke paras rekod tertinggi tahun lepas berikutan tindakan negara-negara yang memiliki bom atom mula memindahkan lebih banyak kepala peledak dari depoh simpanan ke sistem pelancaran masing-masing, dedah pakar pada Selasa.

Sembilan buah negara yang memiliki senjata nuklear dilaporkan membelanjakan sejumlah AS$119 bilion (RM483 bilion) secara bersama untuk aset ketenteraan tersebut pada tahun lalu, mencatatkan peningkatan sebanyak 19 peratus berbanding tahun 2024.

Dapatan tersebut didedahkan menerusi laporan terbaharu Kempen Antarabangsa untuk Menghapuskan Senjata Nuklear (ICAN) yang turut mengeluarkan amaran keras bahawa ‘perlumbaan’ senjata nuklear baharu kini sedang melanda dunia.

Kebimbangan yang sama turut disuarakan dalam satu kajian berasingan oleh Institut Penyelidikan Keamanan Antarabangsa Stockholm (SIPRI) yang diterbitkan pada Isnin. Badan penyelidik itu melahirkan kegusaran terhadap peningkatan risiko nuklear yang semakin meruncing di sebalik ketegangan geopolitik dunia ketika ini.

Kedua-dua kajian berkenaan menunjukkan bahawa lonjakan dramatik dalam perbelanjaan itu didorong oleh tindakan agresif negara-negara terbabit untuk memodenkan senarai senjata mereka serta mengerahkan lebih banyak stok simpanan sedia ada untuk tujuan operasi.

Pengarah Program ICAN yang juga merupakan pengarang bersama laporan tersebut, Susi Snyder menyifatkan skala peningkatan itu sebagai sesuatu yang amat menakutkan terutamanya apabila ia digabungkan dengan kebimbangan mengenai penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang berisiko meningkatkan lagi kebarangkalian pelancaran senjata pemusnah besar-besaran tersebut.

Berdasarkan laporan SIPRI, jumlah anggaran keseluruhan kepala peledak nuklear sebenarnya telah menunjukkan trend penurunan sejak beberapa dekad lalu, yang mana ia berbaki sebanyak 12,187 unit pada awal tahun ini. 

Bagaimanapun, badan itu memberi amaran bahawa jumlah senjata yang sedia ada untuk potensi penggunaan sebaliknya meningkat kepada 9,745 unit.

Pengarah SIPRI, Karim Haggag menjelaskan bahawa walaupun jumlah keseluruhan senjata adalah lebih rendah, tahap bahaya dan risiko nuklear didapati semakin meningkat akibat runtuhnya kawalan senjata strategik serta persaingan sengit antara kuasa-kuasa besar.

Pihak SIPRI turut menjangkakan bahawa keseluruhan stok simpanan senjata nuklear berkemungkinan besar akan mula meningkat semula dalam tempoh beberapa tahun akan datang memandangkan fasa pelupusan kini semakin perlahan, manakala penempatan senjata nuklear baharu pula semakin dipercepatkan.

Ketika ini, Amerika Syarikat (AS) dan Russia secara bersama memegang sekitar 83 peratus daripada keseluruhan stok simpanan senjata nuklear dunia, yang mana masing-masing memiliki lebih daripada 5,000 kepala peledak. 

Dalam pada itu, China dikesan sedang memperluaskan arsenal nuklearnya pada kadar yang lebih pantas berbanding negara lain dengan anggaran pemilikan semasa sekitar 620 kepala peledak. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN