KOTA TINGGI: Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Peribahasa itu mungkin kena dengan situasi dialami seorang bekas pengurus projek yang kini tidak lagi mampu mencari rezeki disebabkan faktor suara.
Selama setahun, Aiman Michael, 44, mengalami masalah suara serak yang pada awalnya disangka perkara biasa sebelum akhirnya terpaksa menerima hakikat bahawa ia petanda menghidap kanser peti suara.
Lebih memilukan, kata isterinya, Siti Dakwah Abdul Aziz, 44, doktor mengesahkan kanser terbabit sudah berada di tahap empat sehingga mengakibatkan leher suaminya bengkak dan sukar bernafas.
“Pada awalnya kami hanya menyangka ia perkara biasa sehinggalah pihak klinik meminta suami dirujuk ke Hospital Sultan Ismail (HSI). Ketika itu doktor mengesyaki dua kemungkinan sama ada ketumbuhan atau kanser ekoran bengkak dialami di lehernya.
“Sebelum ini suami bekerja seperti biasa cuma tidak selesa bila suaranya serak selama setahun, selepas dua kali ujian dilakukan termasuk memasukkan kamera doktor kemudian mengesahkan suami menghidap kanser peti suara tahap empat.
“Kami memang agak terkejut kerana keadaanya sudah berada di tahap tersebut. Doktor juga mencadangkan supaya menebuk lehernya agar suami mudah bernafas,” katanya kepada Utusan Malaysia di Felda Air Tawar 2, di sini semalam.
Siti Dakwah berkata, selepas leher suaminya ditebuk, Aiman tidak boleh bercakap terlalu lama selain dia juga kini perlu menjalani rawatan kimoterapi setiap minggu di HSI.
Kata ibu kepada tiga orang anak itu, suaminya juga kini tidak lagi mampu keluar mencari nafkah dan hanya bergantung kepada pendapatan dia yang mengambil upah mengajar kanak-kanak mengaji selain bergantung wang Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) yang dikeluarkan.
Terdahulu, keluarga itu menerima kunjungan sempena Ziarah Kasih Kami Anak Felda (KAF) oleh Pengerusi KAF Wilayah Johor Bahru, Nasaruddin Ahmad bagi menyerahkan bantuan wang tunai.
Orang ramai yang mahu membantu meringankan beban keluarga tersebut juga boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank milik Siti Dakwah, 151071482589. -UTUSAN ONLINE