Perkasa TVET, jalan kita menuju ekonomi lebih maju

Perkasa TVET, jalan kita menuju ekonomi lebih maju

BUDAYA berprestasi tinggi dan penerimaan teknologi canggih perlu bermula dari peringkat sekolah, di mana inovasi serta minat dalam bidang reka bentuk harus dipupuk dan digalakkan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENEKANAN kerajaan untuk latihan teknikal dan vokasional (TVET) bagi meningkatkan produktiviti pekerja serta kebolehpasaran siswazah merupakan langkah yang betul. Lebih baik jika inisiatif ke arah itu dijalankan lebih awal.

Pendekatan ini selaras dengan keperluan untuk penstrukturan semula industri dan pembangunan kemahiran seiring objektif rancangan industri jangka panjang.

Ia juga sesuai dengan evolusi istilah tenaga kerja, daripada buruh kepada sumber manusia, kemudian modal insan,dan kini pengurusan bakat.

Walaupun perkataan buruh sering membawa konotasi sebagai sekadar faktor pengeluaran sementara istilah modal insan pula mencerminkan manifestasi kreativiti dan inovasi, serta penguasaan kemahiran bertaraf tinggi. Individu yang berbakat pula melambangkan prestasi unggul dan sering menjadi buruan firma terkemuka, termasuk pertubuhan bertaraf global.

Selaras dengan usaha negara membangunkan industri berteknologi tinggi bagi melahirkan lebih banyak firma bernilai tambah serta mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, maka inisiatif kerajaan dalam memperkasa kemahiran, bakat dan produktiviti wajar menerima sokongan padu daripada seluruh masyarakat demi mempercepat pertumbuhan pendapatan tenaga kerja.

Sejak kebelakangan ini, kita berjaya mewujudkan peluang pekerjaan dalam sektor pembuatan, khususnya dalam industri elektrik dan elektronik (E&E), yang secara langsung menyumbang kepada pengurangan ketara kadar pengangguran. Namun begitu, sebahagian besar pekerjaan yang diwujudkan pada waktu itu lebih tertumpu pada pekerjaan tidak mahir dan separa mahir, sejajar dengan keperluan industri yang berasaskan operasi pemasangan.

Kini, sifat industri elektronik, terutamanya separa konduktor untuk memenuhi keperluan elektronik mewah mungkin akan menuntut lebih ramai jurutera elektronik berasaskan reka bentuk ditempatkan di Malaysia, daripada China, Taiwan, Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.

Keperluan memindahkan industri ini dipacu beberapa perkembangan geopolitik dan perubahan dalam rantaian bekalan global, yang seterusnya mendorong kelulusan pelaburan berskala besar oleh agensi penggalakan industri negara iaitu Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Mewujudkan budaya berprestasi tinggi dan penerimaan teknologi canggih perlu bermula dari peringkat sekolah, di mana inovasi serta minat dalam bidang reka bentuk harus dipupuk dan digalakkan.

Pendekatan ini sedang dilaksanakan secara berperingkat, terutamanya dalam bidang robotik, di mana murid sekolah rendah didedahkan kepada minat tersebut sejak awal.

Inisiatif seperti ini harus digalakkan secara meluas di semua sekolah, terutamanya di kawasan luar bandar dan kawasan terpencil. Ideanya adalah untuk memastikan minat kanak-kanak terhadap sains dan teknologi. Dalam masa sama agar bidang ini tidak asing daripada masyarakat secara keseluruhannya.

Selain usaha melahirkan rakyat yang berkemahiran dan berbakat bagi menyokong penstrukturan semula industri serta memacu pertumbuhan pendapatan, penting untuk kita mencapai tahap pendapatan yang lebih tinggi. Ini kerana sumbangan pendapatan buruh kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) masih rendah, sekitar 35 peratus sahaja, berbanding lebih 42 peratus di Singapura dan Korea Selatan, serta lebih 55 peratus di negara-negara Eropah.

Kebimbangan ini terungkap dalam kerangka akademik sumbangan produktiviti faktor ketiga (TFP), yang merupakan sumbangan semua elemen, selain daripada buruh dan modal. Ini termasuklah kualiti tenaga kerja, organisasi dan pengurusan yang lebih baik serta peranan inovasi dan kreativiti (R&D) dan lain-lain.

Beberapa kajian menunjukkan sumbangan TFP kepada negara maju seperti Jerman dan Jepun melebihi 60 peratus, manakala Malaysia adalah kira-kira 35 peratus, kepada peningkatan KDNK.

Dalam erti kata lain, Malaysia perlu senantiasa menyuntik lebih banyak modal dan tenaga kerja untuk meningkatkan produktiviti. Jepun dan Jerman, inersia faktor yang sedia ada sahaja boleh meningkatkan produktiviti dengan beberapa penyusunan semula dan inovasi.

Inilah titik tumpu seruan Malaysia Madani oleh kerajaan yang tepat mengenai kesemua inisiatif pembangunan, dengan tekad untuk tidak meninggalkan sebarang usaha dalam meningkatkan produktiviti dan kualiti, termasuklah memperkukuh tadbir urus serta membanteras rasuah.

Kita telah cuba menambah baik TFP melalui usaha-usaha seperti program TVET dan inisiatif Pusat Penempatan Pekerjaan (NPC) untuk meningkatkan prestasi di peringkat penubuhan. Ini juga termasuk mengurangkan prosedur birokrasi sektor awam yang tidak perlu -sebahagiannya mungkin sudah lapuk (seperti yang dilakukan oleh PEMUDAH atas arahan bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan) dan komunikasi yang lebih baik.

Setelah menyatakan semua ini, dan walaupun kritikal, pertimbangan lain yang masih perlu ditulis ialah minda majikan sektor swasta terhadap kesemua usaha berkenaan untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi.

Inovasi dan pendalaman teknologi disertai dengan gaji yang lebih tinggi untuk pekerja mahir serta terlatih, mesti dijalankan ketika kita menuju ke arah ekonomi digital yang lebih besar dan penggunaan kecerdasan buatan (AI).

Marilah kita mencapai dasar gaji tinggi melalui sistem gaji progresif, agar elemen dan penjelmaan modal insan dalam kalangan pekerja diiktiraf serta diberi pampasan yang setimpal. Dengan ini, mereka dapat menikmati kehidupan yang lebih berkualiti, sambil secara berperingkat mengurangkan pergantungan kepada pekerja asing.-UTUSAN

 

 

TAN Sri Dr. Sulaiman Mahbob ialah Profesor Adjung di Institut Antarabangsa Polisi Awam dan Pengurusan (INPUMA), Universiti Malaya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN