Bekas pengawal keselamatan bunuh wanita berpantang kekal digantung

Bekas pengawal keselamatan bunuh wanita berpantang kekal digantung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seorang bekas pengawal keselamatan kekal menjalani hukuman mati selepas Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan sabitan dan hukuman gantung terhadapnya kerana membunuh seorang wanita yang sedang berpantang, enam tahun lalu.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Vernon Ong Lam Kiat yang bersidang bersama Puan Sri Zaleha Yusof dan Datuk Mary Lim Thiam Suan memutuskan demikian secara sebulat suara selepas menolak rayuan akhir Mohd. Azmirul Shamsuddin, 42.

Lelaki itu merayu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 15 Oktober 2018 dan Mahkamah Rayuan pada 22 Oktober 2019 yang mengekalkannya.

Ketika membaca penghakiman ringkas, Hakim Vernon berkata, meskipun dalam kes ini saksi pendakwaan ke-14 iaitu pakar patologi tidak menyatakan bahawa bencana tubuh yang dialami oleh mangsa pada lazimnya akan menyebabkan kematian, namun saksi perbicaraan itu menyatakan bahawa sebab kematian mangsa adalah akibat sesak nafas.

“Berdasarkan cara mangsa mati dengan keadaan mulut disumbat selain tangan dan kaki diikat dan kemudiannya ditempatkan di bawah timbunan pakaian membuatkan peluang untuk mangsa hidup tipis. Justeru rayuan perayu ditolak,” kata Hakim Vernon.

Dalam prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ng Siew Wee manakala tertuduh diwakili peguam G.C Tan.

Mengikut pertuduhan, Mohd. Azmirul didakwa menyebabkan kematian Rabiatul Adawiah Abd. Aziz, 23, di sebuah apartment di Sungai Way, Petaling Jaya pukul 8.22 malam pada 4 Mac 2015.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Pada 15 Oktober 2018, Mohd. Azmirul dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam selepas didapati bersalah membunuh mangsa yang ketika itu sedang menjalani tempoh berpantang.

Hakim Datuk Mohd. Azman Husin menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohd. Azmirul selepas berpuas hati dengan pihak pendakwaan yang berjaya membuktikan kes prima facie manakala pembelaan hanyalah bersifat penafian semata-mata.

Media sebelum ini melaporkan wanita itu yang baru dua bulan melahirkan anak dijumpai mati dalam keadaan tangan dan kaki terikat serta mulut disumbat bersebelahan bayi perempuannya yang tidak diapa-apakan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.