KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim mengingatkan bahawa kebebasan bersuara di media sosial tidak seharusnya dijadikan medan untuk menabur fitnah dan kebencian dalam kalangan rakyat.
Sehubungan itu, baginda menyeru pihak berkuasa supaya terus meningkatkan pemantauan serta mengambil tindakan bagi membendung perbuatan tersebut.
“Saya juga ingin mengingatkan bahawa kebebasan bersuara di media sosial bukan medan untuk menabur fitnah dan kebencian dalam kalangan rakyat.
“Justeru saya menyeru pihak berkuasa untuk terus meningkatkan pemantauan dan mengambil tindakan bagi membendung perkara tersebut,” titah baginda ketika Istiadat Menghadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara hari ini.
Sultan Ibrahim bertitah, penyebaran maklumat yang tidak betul termasuk kandungan palsu telah menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
“Keadaan menjadi lebih rumit apabila teknologi kecerdasan buatan (AI) disalahgunakan untuk menghasilkan berita palsu dengan menggunakan suara dan gambar tiruan menerusi video deepfake di media sosial.
“Malah gambar saya juga turut digunakan dalam video dan kandungan palsu untuk mengelirukan orang ramai,” titah baginda.
Dalam pada itu, baginda turut menzahirkan ucapan tahniah kepada semua penerima darjah dan pingat Persekutuan pada tahun ini.
Titah baginda, anugerah yang diterima bukan untuk bermegah-megah, sebaliknya perlu dijadikan dorongan untuk terus ikhlas berbakti kepada agama, bangsa dan negara.
Sultan Ibrahim turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menganjurkan sambutan berkenaan serta berterima kasih atas ucapan dan doa rakyat yang sentiasa mengiringi baginda dalam memikul tugas dan amanah sebagai Ketua Negara.
“Marilah kita berdoa semoga negara kita, Malaysia, sentiasa dilimpahi rahmat, keamanan dan kemakmuran serta rakyatnya terus hidup harmoni, sejahtera dan bersatu padu,” titah baginda. – UTUSAN










