Saya tahu tempat saya - Marina Ibrahim - Utusan Malaysia

Saya tahu tempat saya – Marina Ibrahim

MARINA Ibrahim (tengah) menyantuni penduduk setempat yang hadir ke pejabatnya selaku ADUN Skudai.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim reda dengan keputusan diambil untuk mengundurkan diri daripada politik.

Menurut satu komen ditinggalkan di media sosial miliknya, Marina berkata keputusan itu dibuat secara sukarela dan tidak dipaksa mana-mana pihak.

“Saya buat keputusan ini setelah berbincang dengan semua sukarelawan saya dan rakan kerja.

“Kalau ada yang cakap pengaruh dalam parti lebih penting dari kuat kerja. Tidak mengapa, saya tahu tempat saya,” katanya ringkas.

Semalam, tular di media sosial satu surat rasmi yang dikeluarkan ADUN Skudai berkenaan yang memaklumkan sebab-sebab pengundurannya daripada dunia politik.

Dia didakwa bertindak sedemikian setelah tidak bersetuju keputusan meletakkan dirinya sebagai calon di kerusi lain dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, dan bukannya kekal di DUN Skudai.

Surat tersebut turut memaklumkan Marina ditawarkan jawatan tinggi di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sekiranya beliau tewas selepas bertanding di DUN Tiram.

Surat bertarikh kelmarin itu ditujukan kepada Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching yang memaklumkan penolakan tawaran-tawaran berkenaan.

“Saya dengan ini juga ingin menyatakan bahawa saya menolak tawaran diberikan oleh Saudari Teo Nie Ching seperti dalam perbincangan pada 17 Mei lalu.

“Perbincangan bersama saudara Andrew di mana saya ditawarkan untuk ke bertanding di Tiram dan ditawarkan menjawat jawatan GLC (syarikat berkaitan kerajaan) sekiranya saya tidak berjaya di tempat tersebut apabila bertanding,” menurut surat rasmi yang tular itu.

Menerusi surat itu, Marina turut mendoakan kejayaan kepada setiap calon yang bertanding pada PRN Johor akan datang.

“Saya melangkah masuk ke dalam DAP sebelum ini dengan satu harapan yang jelas tentang apa yang diimpikan sebagai rakyat Malaysia. Saya juga berharap sebagai pemimpin kita tidak sekali lupa kenapa dan sebab apa pengundi memberikan kepercayaan kepada kita,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN