Bekas Naib Presiden bank didenda RM22,000 - Utusan Malaysia

Bekas Naib Presiden bank didenda RM22,000

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang bekas Naib Presiden sebuah bank didenda RM22,000 selepas mengaku bersalah atas tuduhan tidak melaporkan penyogokan RM3,000 kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Mengikut pertuduhan, Norhayati Mohd. Daud, 61, yang merupakan Naib Presiden Bahagian Perolehan Korporat dan Pemulihan Projek Malaysia Building Society Berhad (MBSB) ketika itu didakwa telah diberikan rasuah sebanyak RM3,000 melalui akaun Maybank Visa Petronas GOLD miliknya daripada pengarah syarikat Residenmas Development Sdn. Bhd., Mohd. Noor Siden, 59.

Wanita terbabit bagaimanapun tidak melaporkan perbuatan itu kepada SPRM.

Rasuah tersebut adalah upah kerana tertuduh telah mencadangkan kepada Ahli Lembaga Pengarah MBSB untuk meluluskan permohonan untuk menukar (Jaminan Kewangan) Financial Guarantee syarikat itu berjumlah RM60 juta kepada bridging loan (pinjaman jangka pendek) bernilai RM10 juta.

Kesalahan itu dilakukan pada 3 Februari 2016 di Menara Maybank, 100 Jalan Tun Perak di sini.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin mengikut Seksyen 25(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 25(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-dua sekali.

Terdahulu ketika mengemukakan rayuan, wanita yang masih bujang itu memohon hukuman denda yang ringan kerana dia menanggung adik dan anak-anak saudaranya.

“Saya menyesal atas apa yang telah berlaku, saya tertipu dengan lelaki tersebut. Saya memohon jasa baik mahkamah untuk hukuman denda tidak lebih RM10,000,”katanya.

Sementara itu Wan Shaharuddin ketika mengemukakan hujah memohon agar mahkamah mengenakan hukuman setimpal dengan mengambil kira jawatan tertuduh ketika kejadian.

“Saya berterima kasih kepada tertuduh kerana mengaku bersalah pada pertama kali didakwa dan ini jelas menunjukkan dia betul-betul menyesal. Namun, tertuduh telah mengkhianati jawatan dan amanah yang diberikan kepadanya maka mahkamah perlu memberikan hukuman setimpal.

“Hukuman penjara tidak sesuai dikenakan memandang tertuduh adalah pesalah pertama dan saya juga berpendapat hukuman pemenjaraan lebih sesuai untuk pesalah tegar atau mereka yang merancang untuk melakukan kesalahan. Pendakwaan mencadangkan hukuman denda di antara Rm20,000 dan RM25,000,” kata pendakwa raya itu.

Selepas mempertimbangkan hujah dan rayuan pihak-pihak, Hakim Rozina Ayob menjatuhkan hukuman denda RM22,000. Gagal membayar denda tersebut, Norhayati boleh dipenjara enam bulan. Tertuduh membayar denda tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya