Lonjak ranking Harimau Malaya

Lonjak ranking Harimau Malaya

FAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) digesa mengumumkan langkah yang bakal diambil untuk menaikkan semula ranking skuad Harimau Malaya yang menjunam 17 anak tangga ke kedudukan 138 dunia Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Pemerhati bola sepak tempatan, Prof. Madya Dr. Zulakbal Abd Karim berkata, ketiadaan sebarang perlawanan antarabangsa Tier 1 pada kalendar FIFA ketika ini menjejaskan peluang mengutip mata, merencatkan momentum serta keserasian pemain.

“FAM tidak mengadakan sidang media untuk mengumumkan langkah-langkah yang bakal diambil. Bilakah latihan pusat bermula, di mana dan siapa yang terpilih. Semuanya tidak dimaklumkan.

“Sebagai peminat bola sepak negara, saya berharap agar sikap FAM yang gemar berdiam diri dan ‘buat kerja dalam gelap’ ini diubah.

“Mungkin mereka kecewa dengan keputusan pasukan sebelum ini tetapi tidak boleh menjejaskan kelancaran pengurusan pasukan. Walau apa pun cabarannya, kita mesti mengekalkan sikap profesional,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurutnya, Harimau Malaya perlu mendaki carta FIFA dengan menuntut kepakaran taktikal dari sudut pentadbiran khususnya dalam mengatur perlawanan menentang pasukan di ranking yang lebih tinggi.

“Pegawai-pegawai di dalam FAM perlu mempunyai pengetahuan mendalam mengenai langkah meningkatkan ranking.

“Kita perlu menentang pasukan yang lebih baik atau mencari pasukan berkualiti yang sudi beraksi menentang kita.

“Kita perlukan pegawai perhubungan yang cekap. Jawatankuasa Teknikal juga perlu mengambil tindakan proaktif berdasarkan peraturan dan formula pengiraan mata,” jelasnya.

Beliau berkata, ketiadaan perlawanan kompetitif dalam kalendar FIFA berisiko mendatangkan impak negatif jangka panjang terhadap kempen Kelayakan Piala Asia serta penentuan balang undian pada masa akan datang.

“Situasi ini mewujudkan keadaan di mana kita tidak mengetahui tahap sebenar kemampuan pasukan serta tidak nampak ancaman yang bakal dihadapi.

“Setiap individu dalam FAM perlu berfikir secara rasional kerana mereka memikul bebanan tanggungjawab besar demi membawa nama negara.

“Ambil sepenuhnya peluang kalendar antarabangsa yang ada tanpa mengira apa jua kekangan,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN