HSBC Malaysia buka Pusat Premier ketiga

HSBC Malaysia buka Pusat Premier ketiga

LINDA Yip (tengah) semasa Perasmian Pusat Premier baharu ketiga di cawangan Subang Jaya baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: HSBC Malaysia membuka Pusat Premier baharu ketiga di cawangan Subang Jaya yang terletak di Pusat Perniagaan Taipan, selepas pembukaan pusat sama di Petaling Jaya dan Puchong awal tahun ini.

Pusat Premier itu direka khusus bagi menyediakan solusi kekayaan dan perbankan yang disesuaikan untuk pelanggan HSBC Premier, meliputi pengumpulan dan perlindungan kekayaan serta perancangan legasi.

Ketua Pegawai Eksekutif HSBC Malaysia, Datuk Omar Siddiq berkata, bank itu kini giat mengukuhkan kedudukannya dalam segmen perbankan mewah di Malaysia.

Menurutnya, usaha itu tertumpu di lokasi ekonomi utama yang menyaksikan permintaan tinggi terhadap perbankan antarabangsa dan pengurusan kekayaan.

“HSBC telah bertapak di Subang Jaya sejak 2005 dan kami menyaksikan perubahan kawasan ini daripada lokasi perumahan pilihan kepada bandar yang lebih terhubung, dinamik dan lengkap dengan pelbagai kemudahan.

“Kini, Subang Jaya terus berkembang dengan kehadiran syarikat korporat, ekosistem pendidikan bertaraf dunia serta pembangunan semula bandar yang mewujudkan pusat kegiatan baharu dan keterhubungan lebih baik.

“Perubahan ini membuka lebih banyak peluang untuk pembinaan kekayaan dan akses kepada pelaburan premium, sekali gus melangkaui peranan tradisional kawasan pinggir bandar.

“Pelaburan berterusan kami di cawangan Subang Jaya mencerminkan keyakinan terhadap perkembangan ini serta prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, ia juga mencerminkan komitmen HSBC untuk terus menyokong pelanggan sedia ada dan baharu selaras dengan keperluan mereka yang semakin berkembang.

Sementara itu, Ketua Kekayaan Antarabangsa dan Perbankan Premier HSBC Malaysia, Linda Yip berkata, permintaan terhadap perkhidmatan perbankan yang lebih diperibadikan semakin meningkat.

“Pusat Premier ini diwujudkan dengan gabungan tenaga kerja, kemudahan dan persekitaran yang mampu memenuhi keperluan pelanggan.

“Ketika keperluan pelanggan menjadi semakin kompleks, pusat ini memudahkan akses kepada solusi bersepadu bagi pelaburan, perlindungan dan pengurusan legasi di satu lokasi.

“Sepanjang kehadiran kami di Malaysia, HSBC telah membina hubungan erat dengan pelanggan, termasuk merentas beberapa generasi dan kami kekal komited untuk terus mengembangkan kehadiran di negara ini,” katanya.

Beliau berkata, HSBC turut mendampingi pelanggan dalam pelbagai fasa kehidupan termasuk pembelian kediaman pertama, pengembangan perniagaan dan pembiayaan pendidikan anak-anak.

“Kami mahu terus menjadi rakan kewangan yang dipercayai pada setiap detik penting bagi membantu pelanggan mengembangkan, melindungi dan mewariskan kekayaan mereka dengan yakin,” ujarnya.

Terletak di tingkat bawah cawangan HSBC Subang Jaya, Pusat Premier itu dilengkapi bilik peribadi yang mengutamakan keselesaan, privasi dan perkhidmatan diperibadikan untuk pelanggan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN