KOTA BHARU: Letih, muak dan benci. Perasaan itu dikatakan kian menebal di hati para pengguna Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) di negeri ini ekoran terpaksa berdepan gangguan bekalan air yang bagaikan tiada kesudahan.
Sepanjang bulan ini, bekalan air dilaporkan terputus secara berperingkat sehingga menjejaskan kira-kira 50,000 akaun pengguna di daerah ini, Gua Musang, Tumpat, Machang, Kuala Krai, Tanah Merah, Bachok dan Jeli.
Bagi pengguna, inisiatif kerajaan melaksanakan Pelan Induk Air Kelantan 2021 bagi mengatasi krisis itu amat dialu-alukan dan mereka rela menempuh gangguan demi gangguan dengan sabar sementara menunggu pelan itu selesai dalam tempoh lima tahun.
Bagaimanapun, AKSB dikatakan sering ‘terlepas pandang’ soal kebajikan pengguna apabila tidak menyediakan bekalan air alternatif seperti menghantar lori tangki atau menyediakan tangki statik di lokasi yang terjejas.
Situasi itu kini dialami penduduk di Taman Harian dan sekitar Desa Rahmat, di sini yang memberitahu Utusan Malaysia mereka langsung tidak menerima bantuan bekalan air alternatif selepas terputus bekalan air sejak sebulan lalu.
Penduduk yang mahu dikenali sebagai Hanif, 40-an berkata, dia sudah berkali-kali menghubungi AKSB memohon supaya lori tangki air dihantar untuk kegunaan penduduk di situ namun permintaan itu seolah-olah tidak diendah.
“Selepas mengadu masalah ini kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) barulah ada maklum balas AKSB memohon maaf atas kesulitan dan mereka berjanji akan menghantar bekalan air alternatif secepat mungkin ke rumah kami.
“Namun sampai sekarang, tiada lori tangki datang manakala bekalan air pula tidak pulih-pulih selepas sebulan. Apabila isu ini dikongsikan di media sosial dan tular semalam, barulah lori tangki sampai untuk hantar air. Adakah perlu tular dulu baru nak hantar air,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Harian, Ariffin Awang berkata, gangguan bekalan air merupakan krisis yang tidak pernah selesai sejak lebih 20 tahun dia menetap di situ dan setiap kali masalah tersebut diadukan, penduduk diminta bersabar.
“Pelbagai ikhtiar saya lakukan termasuk membina tiga telaga tiub bersama tiga pam dengan kos mencecah RM5,000 setiap satu set bersama penapis untuk mendapatkan air yang bersih dan jernih kerana punca air di sini berkeladak.
“Selain liat untuk menghantar bekalan di kawasan terjejas, ada petugas pernah mengugut AKSB tidak akan menghantar air selagi penduduk tidak menyediakan tangki sendiri di depan rumah masing-masing,” katanya.- UTUSAN ONLINE










