Harga runcit diesel, RON95 kekal, dijual RM4.67, RM3.72 seliter

Harga runcit diesel, RON95 kekal, dijual RM4.67, RM3.72 seliter

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Harga diesel tanpa subsidi bagi tempoh 11 hingga 17 Jun dilaporkan kekal seperti minggu terdahulu dengan ditawarkan pada RM4.67 seliter.

Kementerian Kewangan berkata, sementara itu, harga RON97 tanpa subsidi juga tiada perubahan apabila ditawarkan pada kadar 4.35 seliter.

Sementara itu, harga runcit RON95 juga kekal apabila dijual pada kadar RM3.72 seliter.

“Selaras dengan formula Automatic Pricing Mechanism (APM), harga runcit petrol dan diesel bagi minggu ini dikekalkan berikutan pergerakan purata harga pasaran antarabangsa minggu terdahulu.

“Subsidi bulanan bagi RON95 dan diesel pada Januari 2026 adalah sekitar RM700 juta, sebelum melonjak kepada hampir RM5 bilion sebulan pada Mac dan memuncak sebanyak RM7.5 bilion pada April 2026.

“Ia susulan krisis di Asia Barat apabila harga minyak mentah Brent mencecah sehingga AS$120 setong,” katanya dalam kenyataan.

Kementerian Kewangan berkata,tanggungan subsidi kerajaan pula berdasarkan harga pasaran semasa masih diunjurkan tinggi iaitu sekitar RM3.5 bilion sebulan.

“Daripada jumlah tersebut, subsidi RON95 diunjurkan sekitar RM2 bilion sebulan, manakala subsidi diesel pula sekitar RM1.5 bilion sebulan,” katanya.

Jelasnya, walaupun pasaran petroleum global telah menunjukkan trend lebih stabil sejak beberapa minggu kebelakangan ini, namun pasaran petroleum antarabangsa masih dipengaruhi ketidaktentuan bekalan fizikal selain tahap inventori global dan permintaan
bermusim di beberapa rantau utama dunia.

“Bekalan petroleum negara ketika ini kekal stabil dan mencukupi dengan perancangan bekalan yang telah disusun bagi memastikan kelangsungan bekalan untuk tempoh
akan datang.

“Pada masa yang sama, kerajaan terus memperkukuh langkah keterjaminan bekalan dalam jangka panjang dan subsidi bersasar ketika krisis bekalan global masih berlarutan.

“Pendekatan bersubsidi bersasar ini membantu mengurangkan tekanan kos kepada rakyat serta memastikan sektor-sektor penting negara terus beroperasi dengan stabil
dalam keadaan global yang masih mencabar,” katanya.

Pada masa sama, kerajaan turut menggalakkan penggunaan bahan api secara lebih cekap dan
berhemah melalui perancangan perjalanan yang lebih baik serta pengurangan pembaziran penggunaan bahan api.

“Ia selaras dengan usaha memperkukuh daya tahan negara dalam menghadapi ketidaktentuan global,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN