Malaysia mampu jadi kuasa pertengahan, perantara konflik antarabangsa

Malaysia mampu jadi kuasa pertengahan, perantara konflik antarabangsa

ZAMBRY Abd Kadir (depan empat kiri) dan Profesor Li Cheng (depan empat kanan) bergambar selepas Majlis Syarahan Umum Profesor Li Cheng: "China-Us Relations And Impact To Malaysia" Di Dewan Za’ba di Kementerian Pendidikan Tinggi, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia berpotensi memainkan peranan lebih besar sebagai kuasa pertengahan yang mampu menjadi pengantara dalam pelbagai konflik antarabangsa, termasuk yang membabitkan kuasa-kuasa besar dunia.

Pakar sains politik antarabangsa terkemuka dunia, Profesor Li Cheng berkata, walaupun Malaysia sebuah negara yang kecil dari segi saiz, negara ini mempunyai kedudukan strategik dan pengalaman yang membolehkannya menyumbang kepada usaha keamanan global.

Beliau yang juga Pengarah Centre on Contemporary China and the World (CCCW) serta Profesor di School of Governance and Policy, University of Hong Kong (HKU) berkata, Malaysia turut berada pada kedudukan penting dalam landskap geopolitik yang sedang berubah selain menjadi antara negara yang menikmati manfaat daripada proses globalisasi bersama China dan negara-negara ASEAN lain.

“Malaysia dan China sama-sama mendapat manfaat daripada globalisasi. Kebangkitan China dan Malaysia berlaku seiring dan kedua-dua negara boleh bekerjasama memainkan peranan penting dalam mewujudkan keamanan serta kemakmuran serantau dan global.

“Saya berharap Malaysia dan China dapat berkongsi pengalaman pembangunan yang berjaya dengan negara-negara lain termasuk negara Barat serta negara-negara Selatan Global,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan syarahan umum di sini hari ini.

Katanya, Malaysia turut menunjukkan kebijaksanaan dalam mengimbangi hubungan antarabangsa tanpa perlu memihak kepada mana-mana kuasa besar, namun tetap berpendirian tegas dalam isu-isu sejagat seperti alam sekitar, kawalan senjata nuklear, ketidaksamaan ekonomi dan kepentingan bersama dunia.

Beliau turut menekankan kepentingan pendidikan tinggi sebagai medium memperkukuh persefahaman antara negara dan menyumbang kepada keamanan dunia.

“Saya berharap Malaysia, Hong Kong, China dan negara-negara lain dapat memanfaatkan kerjasama pendidikan bukan semata-mata atas faktor komersial, tetapi untuk membentuk pemikiran, persefahaman serta keamanan dan kemakmuran dunia,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, kerajaan sudah meluluskan pelaksanaan mesyuarat tahunan rasmi dua hala Malaysia-China dalam bidang pendidikan tinggi yang akan diadakan secara bergilir-gilir antara kedua-dua negara.

Beliau berkata, mesyuarat rasmi pertama akan diadakan di China tahun ini sebelum Malaysia menjadi tuan rumah pada tahun hadapan.

“Perubahan dalam landskap pendidikan tinggi dunia sedang berlaku. Jika dahulu pusat kecemerlangan pendidikan tinggi berada di Jerman dan kemudian beralih ke Amerika Syarikat, kini dalam tempoh 20 hingga 30 tahun kebelakangan ini, tumpuan semakin beralih ke China.

“Kita mahu terus meneroka lebih banyak peluang kerjasama khususnya dengan China, sambil mengekalkan hubungan baik dengan institusi pendidikan tinggi di seluruh dunia,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN