KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengesan trend pengubahsuaian motosikal secara ekstrem termasuk membuang brek belakang, menggunakan tayar sotong dan menukar enjin serta sistem kawalan enjin (ECU) dengan kos mencecah sehingga RM18,000.
Pengarah Kanan Penguat kuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, pihaknya mendapati trend berkenaan semakin serius dan kian menular dalam kalangan pemilik motosikal pada tahun ini.
Menurutnya, susulan itu, JPJ terus memperhebat pelaksanaan Op Motosikal (Extreme) di seluruh negara dengan memberi fokus khusus terhadap motosikal yang diubah suai secara tidak sah.
Selain itu, katanya, JPJ juga memberi tumpuan kepada penggunaan komponen yang tidak mematuhi spesifikasi keselamatan dan pelbagai pelanggaran undang-undang yang membahayakan pengguna jalan raya.
“Berdasarkan operasi motosikal yang dibuat, terdapat penunggang berusia 12 tahun yang ditahan tetapi kebanyakan berusia 18 hingga 30 tahun.
“JPJ ada pasukan khas iaitu Team Falcon di setiap negeri dalam menangani isu penunggang motosikal ini dan ada juga kita kesan motosikal digunakan milik ahli keluarga.
“Berdasarkan motosikal yang kita sita setakat ini, paling mahal yang diubah suai ialah RM9,000 tetapi lingkungan harga ubah suai paling murah ialah RM5,000 hingga RM18,000,” katanya dalam sidang akhbar Op Extreme di Pejabat JPJ Kuala Lumpur di sini hari ini.
Tambahnya, jenis-jenis modifikasi ekstrem ialah penggunaan tayar sotong, tukar enjin, ‘swing arm’ panjang, ekzos serta ECU selain menanggalkan brek belakang.
Katanya, pengubahsuaian ekstrem meningkatkan risiko kemalangan di jalan raya.
“Lebih 60 peratus kemalangan maut jalan raya di Malaysia melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal.
“Statistik tersebut jelas menunjukkan bahawa golongan tersebut masih menjadi pengguna jalan raya yang paling terdedah kepada risiko kecederaan serius dan kehilangan nyawa akibat kemalangan,” ujarnya.
Muhammad Kifli berkata, berdasarkan pangkalan data JPJ, sebanyak 848,885 notis JPJ(P)22 telah dikeluarkan bagi tahun 2024, manakala sebanyak 711,722 notis pada tahun 2025.
“Sebanyak 252,118 notis dikeluarkan terhadap penunggang motosikal atas pelbagai kesalahan setakat Mei lalu,” ujarnya.
Menurut beliau, sebanyak 38,959 motosikal telah disita untuk tindakan di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 sejak 2021 hingga Mei lalu.
“JPJ juga telah mendapat izin dakwa terhadap pesalah lalu lintas di bawah Seksyen 42 APJ 1987 atas kesalahan memandu secara melulu dan membahayakan,” ujarnya.
Tegasnya, JPJ menegaskan bahawa budaya menunggang motosikal secara merbahaya, mengubah suai motosikal yang ekstrem tanpa mengikut spesifikasi, serta menunggang tanpa lesen merupakan satu kesalahan di sisi undang-undang.
“Malah tindakan ini boleh mengundang risiko kemalangan serius yang mengorbankan nyawa,” katanya. – UTUSAN







