Himalaya Sports diiktiraf Rakan Strategik Korporat ISN

Himalaya Sports diiktiraf Rakan Strategik Korporat ISN

MORDI Bimol (tengah) bersama Kenny Low (dua dari kanan) pada Majlis Perasmian Himalaya Sports sebagai rakan strategik korporat Institut Sukan Negara (ISN) di Dewan Perdana Institut Sukan Negara (ISN) di sini, hari ini. - UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT JALIL: Himalaya Sports kini menjadi Rakan Strategik Korporat Institut Sukan Negara (ISN), sekali gus mengiktiraf kualiti, keselamatan serta kredibiliti jenama tempatan itu dalam menyokong pembangunan sukan dan gaya hidup aktif di Malaysia.

Kerjasama yang dimeterai menerusi rangka kerja Perkongsian Awam-Swasta (PPP) itu mencerminkan komitmen bersama antara sektor korporat dan institusi pembangunan sukan negara dalam memperkukuh ekosistem sukan serta melaksanakan pelbagai inisiatif yang memberi manfaat kepada komuniti dan masyarakat.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Mordi Bimol berkata, kerjasama antara ISN dan Himalaya Sports sebagai contoh terbaik sinergi antara sektor awam dan swasta yang mampu memberi impak positif kepada pembangunan sukan dan kesejahteraan rakyat.

“Pengendorsan ISN terhadap Himalaya Sports mencerminkan keyakinan terhadap kualiti, keselamatan dan kesesuaian produk yang dibangunkan untuk memenuhi keperluan komuniti sukan dan individu aktif.

“Apabila sebuah jenama tempatan memilih untuk bekerjasama dengan ISN, ia menunjukkan keyakinan terhadap standard profesionalisme, integriti dan kualiti yang diamalkan oleh institusi ini,” katanya semasa Majlis Perasmian Himalaya Sports Sebagai Rakan Strategik Korporat ISN di sini.

Sementara itu, Pengarah Urusan Himalaya Sports, Datuk Kenny Low berkata, pelantikan syarikat itu sebagai Rakan Strategik Korporat ISN merupakan satu penghormatan besar serta pengiktirafan bermakna terhadap usaha berterusan syarikat dalam menawarkan produk berkualiti kepada pengguna.

“ISN merupakan institusi yang menjadi penanda aras kecemerlangan sukan negara.

“Justeru, pengendorsan yang diberikan kepada Himalaya Sports adalah satu pengiktirafan yang amat kami hargai dan menjadi pemangkin untuk terus meningkatkan mutu produk serta menyumbang kepada pembangunan ekosistem sukan negara.

“Kehadiran logo ISN pada pembungkusan produk Himalaya Sports bukan sekadar melambangkan hubungan kerjasama strategik, malah mencerminkan keyakinan sebuah institusi sukan yang berwibawa terhadap kualiti dan keselamatan produk kami.

“Kami juga merakamkan penghargaan kepada seluruh warga ISN yang terlibat dalam proses pengendorsan ini. Kepercayaan yang diberikan akan terus mendorong kami untuk menambah baik produk serta menyumbang secara positif kepada pembangunan sukan negara,” katanya.

Himalaya Sports dibangunkan bagi memenuhi keperluan individu yang mengamalkan gaya hidup aktif dengan menawarkan produk yang praktikal, mudah dibawa dan sesuai dinikmati ketika melakukan aktiviti harian mahupun sukan.

Produk itu dihasilkan menggunakan Garam Himalaya asli serta gabungan perisa unik bagi memastikan pengguna menikmati produk berkualiti yang sesuai untuk pelbagai lapisan masyarakat.

Sejak diperkenalkan pada 2017, Himalaya Sports berkembang daripada jenama tempatan kepada produk yang kini dipasarkan di lebih 10 negara dan terus memperluaskan kehadirannya di pasaran antarabangsa.

Kenny Low berkata, sejak penubuhannya, syarikat berpegang kepada prinsip bahawa produk berkualiti tidak seharusnya menjadi suatu kemewahan yang hanya dapat dinikmati oleh segelintir pihak.

“Matlamat kami sentiasa selari dengan aspirasi ‘Sukan Untuk Semua’.

“Atas dasar itu, Himalaya Sports ditawarkan pada harga berpatutan supaya manfaatnya dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat, daripada pelajar sekolah dan atlet pembangunan sehingga individu yang mengamalkan gaya hidup aktif.

“Sebagai jenama tempatan yang kini berada di lebih 10 negara, kami berbangga dapat memainkan peranan dalam menyokong usaha memperkasakan budaya sukan dan gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya.

Menerusi kerjasama strategik tersebut, Himalaya Sports akan menyokong pelbagai program dan aktiviti anjuran ISN termasuk hari terbuka, seminar, program pendidikan sukan serta aktiviti pembangunan komuniti.

Beliau berkata, syarikat itu melihat kerjasama bersama ISN sebagai hubungan strategik jangka panjang yang mampu memberi nilai tambah kepada kedua-dua pihak selain membuka peluang kepada pelaksanaan pelbagai inisiatif pembangunan sukan negara.

“Kami percaya kerjasama ini bukan sekadar satu perkongsian strategik, sebaliknya komitmen bersama untuk membentuk masyarakat yang lebih aktif, sihat dan berdaya tahan.

“Kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak pengurusan ISN atas kepercayaan yang diberikan dan berharap kerjasama ini akan terus berkembang demi manfaat komuniti sukan serta rakyat Malaysia secara keseluruhannya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN