Bapa kandung 'suspek' utama kes dera - Utusan Malaysia

Bapa kandung ‘suspek’ utama kes dera

ASISTEN KOMISIONER SITI KAMSIAH HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Panas baran dan tidak sabar antara punca kejadian dera apabila sebanyak 472 kes direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh negara bagi tempoh sembilan bulan tahun ini.

Lebih mengejutkan, bapa adalah ‘suspek’ tertinggi dipercayai mendera mangsa iaitu kira-kira 144 orang, diikuti ibu (137), pengasuh (71), pengasuh taska (34) dam bapa tiri (30).

Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-kanak Bukit Aman (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, daripada jumlah itu, pihaknya mendapati kebanyakan kes berlaku di rumah mangsa sendiri iaitu 319 kes.

Menurut beliau, selain itu, kira-kira 72 kes berlaku di rumah pengasuh diikuti di pusat asuhan dan taska berdaftar (36) dan lima lagi di pusat yang tidak berdaftar.

“Lokasi lain kes dera diperca­yai berlaku di tempat-tempat awam, rumah kebajikan, seko­lah dan surau.

“Sebanyak 528 individu terdiri daripada 302 wanita dan 226 lelaki disiasat melibatkan kes tersebut sejak September tahun lalu hingga Januari lalu,” kata beliau baru-baru ini.

Dalam pada itu, terdapat juga suspek melibatkan ibu saudara, teman lelaki ibu, bapa atau ibu angkat, ibu tiri, bapa saudara, penjaga rumah anak yatim, suami pengasuh dan guru.

Jelasnya, sebanyak 198 mang­sa didera secara fizikal gara-gara sifat panas baran ibu bapa atau penjaga yang gagal mengawal emosi.

“Ada juga kes berlaku dise­babkan pengabaian seperti jatuh katil, basikal dan meja. Kita juga mengesan kes yang berlaku akibat mangsa dikurung atau ditinggal tanpa pengawasan, malah ada juga penjaga yang cuai sehinggakan mangsa termakan sabun, cecair atau ubat,” ujar beliau.

Siti Kamsiah berkata, suspek-suspek yang disiasat dalam kumpulan umur 25 hingga 35 tahun sebanyak 245 kes, diikuti 183 orang (35 hingga 45 tahun), 49 orang (18 hingga 25 tahun), 43 orang (45 tahun ke atas) dan lapan orang bagi 28 tahun ke bawah.

Jelasnya, kesemua suspek me­rupakan 502 warga tempatan manakala 26 orang lagi adalah warga asing.

“Kebanyakan mereka bekerja sendiri selain suri rumah atau penganggur. Ada juga dalam kalangan suspek yang bekerja di sektor swasta,” ujarnya.
Jun lalu, Utusan Malaysia mendedahkan sebanyak 2,611 kes dera direkodkan PDRM sejak 2016 hingga April lalu.

Baru-baru ini turut tular rakaman kamera litar tertutup (CCTV) melibatkan seorang wanita warga Singapura yang juga pengurus di sebuah pusat intervensi kanak-kanak selepas dipercayai memukul kanak-kanak autisme.

Kejadian disedari bapa kanak-kanak itu pada pukul 12.45 tengah hari berkenaan ketika mengambil mangsa dan ternampak kesan lebam pada bahu kiri dan kedua-dua mata anaknya serta dimaklumkan kesan kemerahan pada tepi dahi kiri mangsa itu didakwa berlaku akibat tindakan mangsa menghantukkan kepala pada meja atas alasan tidak mahu makan.

Bapa mangsa yang curiga dengan perkara itu menyemak rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian dan mendapati suspek bertindak kasar kepada mangsa yang mengelak untuk makan.

Hantaran yang dibuat itu kemudian tular dan netizen meminta tindakan tegas diambil ke atas pemilik pusat intervensi berkenaan.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya