Banjir: Dua PPS masih dibuka di Negeri Sembilan - APM

Banjir: Dua PPS masih dibuka di Negeri Sembilan

MOHD. Syukri Madnor (tengah) menyantuni seorang mangsa terjejas banjir yang menghuni PPS yang dibuka di SMK Dato' Mohd Said, Nilai, Seremban, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Hanya dua pusat pemindahan sementara (PPS) masih dibuka di Negeri Sembilan susulan kejadian banjir kilat yang melanda beberapa kawasan di negeri ini semalam.

Bagaimanapun, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sembilan, Lt. Kol. (PA) Mohd. Syukri Madnor berkata, keadaan banjir dilihat beransur surut dan pulih sepenuhnya dan dijangka dua PPS dijangka ditutup pada tengah hari ini.

“Tiga daerah di negeri ini mengalami banjir kilat yang agak teruk iaitu di daerah Seremban, Port Dickson dan Rembau pada petang semalam. 

“Setakat ini, hanya dua PPS dibuka iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Mohd Said, Nilai yang melibatkan sebuah keluarga seramai sembilan orang.

“Di daerah Port Dickson pula, PPS dibuka di Balai Raya Permatang Pasir, Linggi yang menempatkan penghuni Kompleks Anak Yatim Miskin & Warga Emas Darul Widad seramai 25 orang,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Mohd. Syukri lagi, di daerah Rembau, pihaknya tidak membuka sebarang PPS berikutan kebanyakan mereka yang terjejas di Kampung Sungai Radin telah berpindah ke rumah saudara mara. 

“Saya difahamkan seramai 25 orang penduduk yang terjejas berpindah ke rumah saudara terdekat dan tiada PPS yang dibuka. Di Kampung Sungai Radin juga agak berisiko kerana paras air tinggi dan anggota telah bertugas sehingga pukul 4 pagi tadi,” katanya. 

Jelasnya, pihak APM akan bersiap sedia sekiranya kejadian banjir kilat akan berulang dan menempatkan anggota dalam keadaan berjaga-jaga. 

“Pihak kami sedang menunggu maklumat daripada Jabatan Meteorologi dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi sebarang kemungkinan akan berlaku lagi hujan di beberapa kawasan terutama pada waktu petang,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai dan penduduk di kawasan berisiko agar bersiap sedia dan menyediakan kelengkapan pakaian dan ubat-ubatan sekiranya perlu berpindah ke PPS. 

“Saya sarankan mana-mana penduduk di kawasan berisiko sekiranya hujan berterusan agar bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan. Sediakan pakaian dan ubat-ubatan untuk memudahkan urusan ke PPS,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.