PETALING JAYA: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyambut baik pembentangan Belanjawan 2022 oleh Menteri Kewangan,Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang dilihat sangat menyeluruh, inklusif dan komprehensif untuk kesejahteraan rakyat. Ia menyaksikan satu pelan hala tuju Kerajaan yang strategik ketika negara menghadapi cabaran ekonomi pasca pandemik COVID- 19.
Bertemakan “Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera”, Bajet 2022 kali ini mendokong Tiga Paksi Utama iaitu memperkukuh pemulihan, membina daya tahan dan memacu pembaharuan.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Marican Naina Marican berkata, Bajet 2022 juga telah dirangka melalui proses telus dan menyeluruh sejajar dengan semangat Keluarga Malaysia.
“Ia juga menyaksikan peruntukan tertinggi Kerajaan dengan jumlah RM332.1 bilion, tidak lain hanya untuk manfaat Keluarga Malaysia keseluruhannya”. Beliau turut melahirkan kesyukuran kerana KPKT diberikan peruntukan mengurus dan pembangunan yang berimbang bagi merealisasikan aspirasi perumahan berdaya huni, perkhidmatan perbandaran yang mampan dan perkhidmatan kebombaan yang efektif,” katanya dalam kenyataan.
Fokus KPKT dalam memperkukuhkan Agenda Perumahan yang berkualiti dan selesa kepada rakyat terus mendapat sokongan kerajaan melalui peruntukanprojek-projek perumahan khususnya kepada golongan berpendapatan rendah dengan nilai keseluruhan 1.5 bilion ringgit. Peruntukan ini antaranya bagi meneruskan program-program rumah mesra rakyat dan bantuan penyelenggaraan perumahan rakyat.
Bagi merancakkan semula industri dan landskap perumahan, Kerajaan turut mempertimbangkan cadangan KPKT agartidak lagi mengenakan Cukai Keuntungan Harta Tanah bagi pelupusan oleh individu warganegara, pemastautin tetap dan selain syarikat mulai tahun keenam dan ke atas.
Kerajaan juga turut menyediakan jaminan sehingga 2 bilion ringgit kepada bank melalui Skim Jaminan Kredit Perumahan untuk memberi akses pembiayaan kepada golongan ini membeli rumah seperti pengusaha kecil dan petani.
Bagi memantapkan kemudahan jalur lebar terkini kepada Keluarga Malaysia melalui Projek Ketersambungan Digital, Kerajaan telah memperuntukkan 30 juta ringgit bagi menyediakan kemudahan internet di 40 PPR sedia ada.
Bajet 2022 ini akan menyokong Pasukan KPKT untuk terus komited memperkasakan agenda perumahan serta kesejahteraan Keluarga Malaysia secara keseluruhannya melalui Agenda Liveable Malaysia atau Malaysia Berdaya Huni.










