KUALA KANGSAR: Dua wanita warga emas maut manakala dua lagi cedera parah dalam nahas jalan raya melibatkan dua kenderaan di Jalan Lama Hala Kati, Kampung Lubok Chapin, di sini hari ini.
Mangsa yang terkorban dikenal pasti sebagai Ang Sau Mooy, 69, dan adiknya, Ang Siew Luan, 67, yang menaiki sebuah kereta jenis Perodua Myvi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata,pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan melibatkan kereta dinaiki mangsa dan sebuah van jenis Nissan Vanette pada pukul 2.38 petang.
Katanya, sebaik sahaja anggota dan jentera tiba di lokasi kejadian, didapati dua mangsa tersepit dalam van manakala dua yang lain disahkan telah meninggal dunia di tempat kejadian.
“Ketua operasi melaksanakan penilaian situasi sebelum mengaplikasikan konsep Saver dengan mengarahkan anggota menjalankan kerja-kerja menyelamat menggunakan peralatan hidraulik sehingga mangsa berjaya dikeluarkan.
“Mangsa lelaki dan wanita masing-masing berusia 29 tahun dan lingkungan 60-an yang mengalami kecederaan parah diserahkan kepada pihak ambulans untuk rawatan lanjut,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, mayat dua beradik yang maut itu pula diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
“Operasi menyelamat yang disertai 10 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar itu tamat pada pukul 4.09 petang,” katanya. – UTUSAN










